Images
  • mti supermarket food supplies
    Menteri Gan Kim Yong memeriksa bekalan barang asas yang dihantar ke pasar-pasar raya pada 29 Mei 2021 (Gambar: MTI)

Bekalan makanan, barang keperluan di S'pura mencukupi, kata Gan Kim Yong ekoran penutupan penuh M'sia

SINGAPURA: Singapura mempunyai "bekalan makanan dan barang keperluan yang mencukupi" tetapi orang ramai seharusnya hanya membeli hanya apa yang mereka perlukan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Isnin (31 Mei).

Komen Encik Gan dibuat ekoran keprihatinan mengenai bekalan akibat langkah penutupan dua minggu yang dilaksanakan Malaysia dari 1 Jun hingga 14 Jun. Singapura mengimport beberapa produk dari Malaysia, termasuk ayam, ikan dan sayur-sayuran.

"Kami sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk memastikan aliran bekalan perlu yang berterusan antara kedua-dua negara kita," kata Encik Gan, dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19.

Pemerintah telah bekerjasama dengan agensi dan syarikat yang relevan untuk menambah stok yang ada, mempelbagaikan sumber makanan dan barang keperluan sambil meningkatkan pengeluaran tempatan, katanya.

"Saya ingin meyakinkan semua orang bahawa kita mempunyai cukup bekalan makanan dan barang keperluan. Tetapi harap ingat hanya beli apa yang anda perlukan,” kata Encik Gan, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak.

Agensi-agensi ekonomi di Singapura sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat, terutama yang berurusan dengan barangan dan perkhidmatan perlu, untuk mengurangkan gangguan pada rantaian bekalan mereka, tambahnya.

Menggambarkan situasi COVID-19 sebagai "amat tidak menentu", Encik Gan berkata bahawa ketika pandemik terus berkembang di seluruh dunia, Singapura mesti terus bersiap sedia dan berwaspada sebagai sebuah negara sambil kekal fleksibel dan dapat menyesuaikan diri.

KESAN DIJANGKA "SEDERHANA"

Menyentuh tentang kesan yang mungkin timbul akibat sekatan COVID-19 yang lebih ketat semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Sipertingkat) terhadap ekonomi Singapura, Encik Gan berkata bahawa beliau menjangkakan kesan keseluruhannya sederhana.

"Kesan langkah-langkah ini berbeza mengikut sektor. Sektor domestik, sektor cenderung kepada pengguna, seperti khidmat makanan dan minuman, runcit, dan pengangkutan darat, akan menyaksikan kesan lebih besar," tambahnya.

"Sebaliknya, kesan langkah-langkah ini terhadap sektor ekonomi yang bergantung kepada luar, seperti perkilangan dan kewangan dan insurans, dijangka kurang teruk."

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan lebih banyak langkah sokongan untuk perniagaan yang terjejas oleh langkah-langkah yang diperketat, dengan memperluas subsidi gaji kepada lebih banyak sektor.

"Walaupun kami melakukan yang terbaik untuk menangani situasi sekarang, MTI akan terus memberi perniagaan sokongan penuh untuk membantu mereka melakukan perubahan dan merebut peluang baru apabila ia timbul," kata Encik Gan.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top