Images
  • masjid

Beberapa masjid mula tawarkan kambing bagi ibadah korban di luar negara

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, sebilangan masjid tempatan turut menawarkan kambing untuk ibadah korban yang dilakukan di luar negara.

Ini tambahan kepada khidmat melakukan korban di dalam negeri di bawah Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).

Langkah itu diambil memandangkan permintaan bagi kambing korban yang semakin meningkat d kalangan warga Singapura di masjid-masjid.

Sebelum ini, perkhidmatan menjalankan ibadah korban di luar negara lazimnya ditawarkan agensi-agensi swasta atau NGO.

Namun tahun ini, beberapa buah masjid setempat juga mula menawarkan khidmat melakukan korban di luar negara. Ini bagi memenuhi permintaan kambing korban yang meningkat.

Tahun ini misalnya, kesemua 3,700 kambing korban yang dibawa masuk JKMS habis ditempah dua minggu sebelum tarikh pendaftaran ditutup.

Ini termasuklah Masjid Ar-Raudhah, yang mana kesemua 120 kambing korbannya, habis ditempah dalam masa tiga hari sahaja selepas pendaftaran dibuka.

"Tahun ini 3,700 ekor kambing diberi peluang untuk masyarakat melakukan ibadah korban, semuanya habis ditempah dan 26 pusat menjalankan ibadah korban untuk mereka. Saya berterima kasih juga jawatankuasa korban yang dari awal sehingga sekarang menjalankan tugas-tugas mereka dengan baik hingga masyarakat kita dapat menikmati ibadah korban dalam suasana teratur," menurut Encik Masagos.

Namun bagi memenuhi permintaan yang terus datang, Masjid Ar-Raudhah menyatakan ia antara masjid yang menawarkan alternatif melakukan korban di Australia sendiri, dan pada pada harga lebih murah.

Bagi ibadah korban yang dilakukan di sini, harga seekor kambing adalah S$480 tetapi bagi yang dilaksanakan di Australia, harganya S$295 seekor.

Namun dagingnya akan hanya dapat diterbangkan ke sini seminggu lewat.

Alternatif itu disambut baik para jemaah Masjid Ar-Raudhah dengan lebih 100 kambing ditempah bagi ibadah korban di Australia.

Permintaan bagi kambing korban yang meningkat ini menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mencerminkan sifat murah hati masyarakat Muslim setempat.

Selesai solat sunat Aidiladha pagi tadi, Encik Masagos sempat meluangkan masa untuk bertemu para sukarela ibadah korban di masjid itu bagi melahirkan penghargaannya buat mereka. 

- BERITAmediacorp/na

Top