Images
  • kreta ayer preschool
    Prasekolah Superland di Kreta Ayer.

Beberapa kes COVID-19 dijangka di prasekolah sedang kegiatan disambung: MSF

SINGAPURA: Beberapa kes COVID-19 dijangkakan di prasekolah ketika Singapura menuju ke arah kehidupan dengan COVID-19 menjadi penyakit endemik dan menyambung lebih banyak kegiatan dalam masyarakat, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Isnin (16 Ogos).

Data antarabangsa setakat ini menunjukkan bahawa kanak-kanak mengalami gejala COVID-19 yang lebih ringan berbanding orang dewasa dan warga emas.

MSF menekankan: "Meskipun kita beruntung di Singapura, sejauh ini kita menyaksikan penyakit ringan dalam kalangan anak-anak kita yang terkena jangkitan, kita maklum bahawa kanak-kanak yang mempunyai keadaan kesihatan sedia ada boleh sakit teruk jika dijangkiti (COVID-19),dan kita harus tetap berwaspada."

"Keutamaan kami adalah untuk dapat mengesan kes dan mengasingkan orang terjejas dengan pantas untuk mengelakkan penularan yang meluas di prasekolah," tambahnya.

"Seperti Kementerian Pendidikan, kami menggunakan pendekatan yang lebih tersasar dalam usaha pengasingan, seberapa mungkin, jika berlakunya kes yang disahkan supaya dapat mengurangkan gangguan pada kanak-kanak dan keluarga."

Sebuah prasekolah di Chinatown dikenal pasti minggu lalu sebagai kelompok jangkitan baru COVID, yang telah bertambah sehingga merangkumi 15 kes setakat Isnin. Semua kanak-kanak dan pekerja di prasekolah itu akan menjalani ujian swab.

KEGIATAN DISAMBUNG DI PRASEKOLAH

Mulai 19 Ogos, prasekolah akan dibenarkan untuk menyambung lebih banyak aktiviti dengan "berhati-hati dan tersusun", kata MSF.

Ibu bapa kanak-kanak yang baru mula sekolah akan dibenarkan masuk ke prasekolah, dihadkan kepada seorang ibu atau bapa di dalam kelas, sehari. Namun ibu bapa itu harus sudah divaksinasi atau mengambil ujian pantas antigen (ART) sebelum masuk.

Individu yang telah divaksin, dari agensi-agensi luar yang memberikan sokongan pembangunan dan pembelajaran serta bantuan pembelajaran bahasa yang tertumpu dalam membaca, akan dibenarkan memberi khidmat kepada tidak lebih empat prasekolah.

Prasekolah sudah pun dibenarkan menyambung kegiatan luar di tempat awam berhampiran sejak 10 Ogos, dalam kumpulan kecil sehingga lima kanak-kanak.

Langkah-langkah pengurusan selamat juga akan terus dilaksanakan, kata MSF. Ini termasuk ditambah pemeriksaan suhu badan, memastikan kebersihan diri yang baik dalam kalangan murid dan kakitangan, memastikan kanak-kanak hanya bergaul di dalam kelas masing-masing dan mengehadkan pengunjung.

VAKSINASI, UJIAN UNTUK KAKITANGAN PRASEKOLAH

Sebilangan besar kakitangan di prasekolah sudahpun menerima vaksinasi penuh atau dos pertama, menurut MSF.

Anggota kakitangan yang belum divaksinasi perlu menjalani ART dua kali seminggu mulai 1 Oktober. "Bagi sekumpulan kecil kakitangan prasekolah yang tidak layak mendapatkan vaksin atas sebab perubatan, Pemerintah akan memberi subsidi bagi ujian mereka," tambah MSF.

Bagi pihak-pihak luar yang menawarkan kegiatan berisiko lebih tinggi dan memerlukan pelitup dilepaskan seperti kelas alat muzik tiupan, mereka diwajibkan sejak 15 Julai untuk menjalani rejim Ujian Cepat dan Mudah (PET) setiap 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

MSF mengingatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan perubatan "dengan segera" jika anak mereka tidak sihat dan menjaga mereka di rumah jika ada anggota isi rumah yang tidak sihat.

Kementerian itu menambah pihak berkuasa akan "terus menyemak rejim ujian dan langkah-langkah pencegahan di prasekolah agar kanak-kanak dapat terus belajar dan bermain dalam sekitaran yang selamat".

- CNA/TQ/tq

Top