Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beberapa fakta tentang alat urut automatik: Adakah ia benar-benar berkesan?

Anda mungkin pernah melihat alat berbentuk gerudi ini dikongsikan di gim, terutamanya selepas sesi senaman. Jika anda belum pernah mencubanya, anda mungkin tertanya, apakah manfaat alat itu?

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa fakta tentang alat urut automatik: Adakah ia benar-benar berkesan?

Gambar hiasan alat urut automatik atau 'massage gun' (Gambar: Instagram/hyperice)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 03:47PM Dikemas Kini : 16 Aug 2020 12:10AM

SINGAPURA: Anda mungkin pernah melihat alat berbentuk gerudi ini dikongsikan di gim, terutamanya selepas sesi senaman. Jika anda belum pernah mencubanya, anda mungkin tertanya, apakah manfaat alat itu?

Alat itu dipanggil 'massage gun' atau alat urut berbentuk pistol dan merupakan antara alat senaman yang menjadi trend kebelakangan ini. Berbentuk seperti pistol, ia biasanya mempunyai bahagian pemegang dan kepala yang berputar atau menggerudi dengan pantas untuk menyediakan apa yang disebut sebagai terapi gegaran.

Video-video gerakan perlahan menunjukkan kesan gelombang pada otot apabila alat itu digunakan pada tubuh.

Selain ia semakin banyak digunakan di gim, alat itu juga diiklankan di media sosial sebagai berupaya melegakan lenguh otot seperti sakit leher akibat masalah tidur yang dialami sehari-hari.

Ahli fisioterapi dari Core Concept, Elizabeth Boey, menganggarkan bahawa alat urut automatik itu sudah berada di pasaran Singapura sejak sekitar lima tahun lalu. Namun ia semakin popular baru-baru ini dengan lebih ramai orang di Singapura yang berminat dalam kegiatan senaman. Malah orang-orang terkenal seperti Adam Levine dan Ashley Graham serta ahli sukan kelihatan turut menggunakannya.

BOLEH CUBA, TAPI ELAK JIKA ADA KEADAAN KESIHATAN TERTENTU

Menurut pakar kanan fisiologi senaman Hospital Besar Changi, Dr Raymond Teoh, terdapat bukti yang menunjukkan teknik urut yang khusus mungkin mengurangkan kesakitan dan ketegangan otot bagi ahli sukan yang terlatih.

Tetapi bolehkah faedah yang sama diraih daripada alat urut automatik ini?

"Setakat ini, tidak banyak kajian dilakukan mengenai keberkesanan dan keselamatan berkaitan penggunaan alat urut automatik berbentuk pistol ini. Oleh itu, alat itu tidak digunakan dalam pengamalan kami," kata Dr Teoh. Bahkan, beliau memberi peringatan bahawa "alat urut berbentuk pistol adalah alat yang berkuasa tinggi dan dikendalikan sendiri dan pengguna perlu berhati-hati dan berwaspada tentang bahaya yang mungkin timbul bila menggunakannya".

Ini lebih-lebih lagi jika anda mengalami ketegangan otot atau ligamen yang terseliuh. Beliau juga memberi peringatan agar tidak menggunakan alat itu jika anda mengalami kecederaan berkaitan radang seperti osteoporosis, tendonitis atau bursitis; keadaan autoimun; atau keadaan yang menjejas aliran darah seperti trombosis urat dalam atau artheriosclerosis.

ALAT URUT TIDAK MEMBANTU KEADAAN TERTENTU

Alat urut berbentuk pistol ini juga tidak akan menghilangkan sakit akibat kecederaan yang berlaku secara tiba-tiba - malah boleh menyebabkan kecederaan lebih teruk pada kawasan tersebut dan menghambat pemulihan.

"Sebagai contoh, jangan sekali-kali menggunakan alat urut ini di atas tulang patah yang sedang pulih," kata Cik Boey, yang juga mengesyorkan mengelakkan sendi, kawasan tulang, dan kawasan yang mudah terdedah kepada kecederaan seperti bahagian depan leher, lipatan siku dan lutut, dan pangkal paha.

Tambahan lagi, Cik Boey berkata bahawa alat urut sebegitu "tidak akan pernah dapat menggantikan terapi menggunakan tangan seperti urutan sukan". "Pakar terapi urut yang terlatih dalam anatomi manusia dapat mencari kawasan tegang agar dapat menumpukan kelegaan pada tisu mendalam."

ADAKAH ANDA MENGGUNAKANNYA DENGAN BETUL?

Adalah amat penting pengguna membaca arahan yang disertakan dengan alat urut berbentuk pistol ini sebelum mula menggunakannya.

Sebagai panduan, selalu mulakan dengan penetapan paling perlahan, kata Cik Boey, untuk "membolehkan tubuh anda menyesuaikan diri dengan tekanan". Bermula dengan kelajuan tinggi mungkin menyebabkan otot anda tegang dan "tidak akan membolehkan urutan sampai ke tisu yang lebih dalam", katanya. "Ketika anda merasa lebih selesa atau terbiasa dengan tekanannya, anda kemudian boleh meningkatkan tahap kelajuan secara bertahap-tahap."

Juga penting adalah kedudukan kepala alat tersebut. Sekiranya ragu-ragu, letakkan kepalanya tepat pada permukaan kulit atau renggangkan sedikit, kata Cik Boey. "Sebagai panduan umum, mulakan dengan satu hingga dua minit di satu tempat sebelum beralih ke kawasan berikutnya."

BILA PERLU HENTI?

Dr Teoh menekankan bahawa "alat urut berbentuk pistol ini hanya boleh digunakan pada otot sahaja". Anda seharusnya merasakan tekanan tertumpu semasa menggunakan alat urut ini, katanya.

"Mungkin anda akan rasa kurang selesa sedikit pada awalnya tetapi sebagai panduan umum, anda tidak sepatutnya rasa sakit atau tidak selesa secara berpanjangan."

Cik Boey menambah bahawa "mungkin ada rasa sakit dan kelegaan yang mendalam ketika tekanan ditingkatkan". Anda harus merasakan ketegangan pada otot yang terjejas - dan semakin ketat otot, semakin lama tempoh yang diperlukan.

"Namun, jika anda rasa sakit yang semakin teruk atau bengkak, anda mungkin menggunakannya dengan cara salah. Berhenti dan dapatkan nasihat karyawan kesihatan sebelum meneruskan," katanya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan