Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa cabaran ancam keselamatan maritim, kata Dr Ng

Beberapa masalah dijangka akan timbul dan mengancam keselamatan maritim di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 May 2019 01:06PM Dikemas Kini : 14 May 2019 09:27PM

SINGAPURA: Beberapa masalah dijangka akan timbul dan mengancam keselamatan maritim di rantau ini.

Ini termasuk negara-negara yang mengamalkan peraturan-peraturan berbeza apabila menuntut hak wilayah atau ketika menjalankan latihan kebebasan pelayaran di laut.

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen berkata demikian di majlis pembukaan Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim Antarabangsa (IMDEX) Asia. Acara itu dihadiri oleh para pegawai kanan daripada lebih 40 pasukan tentera laut merata dunia.

Pada 6 Mei, Amerika Syarikat mengerahkan dua kapal perang berhampiran pulau-pulau yang dituntut oleh China di Laut China Selatan.

Beijing mengutuk keras langkah tersebut dengan menyifatkannya sebagai menggugat keamanan dan menceroboh kedaulatannya. China menuntut hampir seluruh kawasan Laut China Selatan yang strategik.

Singapura yang terletak tidak terlalu jauh berada di antara dua "rangkaian laluan utama" yang dibentuk oleh Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Ini bermakna 25 peratus daripada semua barangan yang didagangkan di dunia melalui Selat Singapura diangkut lebih 1,000 kapal setiap hari.

Menurut Dr Ng, jumlah insiden yang ada kaitan dengan tentera dan penguatkuasaan undang-undang di laut semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pertikaian-pertikaian tersebut juga menyebabkan kematian. Misalnya, seorang nelayan dari Taiwan ditembak mati pada 2013 oleh kapal Pengawal Pantai Filipina yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Oleh kerana kebanyakan kegiatan bergantung kepada keadaan di laut, kami memerlukan sepersetujuan kukuh daripada semua negara mengenai peraturan-peraturan laut bersama dan penguatkuasaannya," tambah Dr Ng. "Bagi pertikaian di Laut China Selatan, Kod Tatalaku (COC) boleh membuka laluan bagi perjanjian berhubung norma-norma maritim antarabangsa dan pencegahan konflik."

Pada Ogos lalu, ASEAN dan China mempersetujui draf dokumen tunggal yang akan dijadikan asas rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

Pada November pula, Perdana Menteri China Li Keqiang berkata beliau berharap rundingan COC akan selesai dijalankan dalam masa tiga tahun.

Dr Ng turut menekankan bahawa banyak usaha boleh dilakukan pihak tentera untuk membina keyakinan dan kepercayaan menerusi kerjasama.

Misalnya, pihak tentera di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Campur mengamalkan Kod Pertembungan Tidak Terancang di Laut (CUES) bagi beberapa latihan maritim.

ADMM-Campur terdiri daripada 10 negara ASEAN serta Australia, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, China dan Amerika Syarikat.

PENGGANASAN DAN PENYELUDUPAN

Kegiatan melanun dan pengganasan adalah antara ancaman-ancaman lain terhadap keselamatan maritim, kata Dr Ng.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kegiatan melanun dan insiden rompakan dekat Selat Melaka merosot dari 20 pada tahun 2007 kepada lapan tahun ini.

Sungguhpun demikian, "lebih banyak lagi harus dilakukan" bagi menangani ancaman pengganasan, tegasnya. 

Sumber : CNA/AI/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan