Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa aduan polis dibuat tentang 'badut' hampiri pelajar sekolah rendah

Beberapa aduan dibuat tentang individu yang berpakaian seperti badut, menghampiri kanak-kanak di sekolah-sekolah rendah, menurut polis kepada Mediacorp pada Isnin (20 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa aduan polis dibuat tentang 'badut' hampiri pelajar sekolah rendah
Diterbitkan : 20 Sep 2021 01:47PM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 04:16PM

SINGAPURA: Beberapa aduan dibuat tentang individu yang berpakaian seperti badut, menghampiri kanak-kanak di sekolah-sekolah rendah, menurut polis kepada Mediacorp pada Isnin (20 Sep).

Siasatan masih dijalankan, menurut polis, sambil menambah bahawa pihaknya sedang "mengesahkan fakta itu dengan sebuah pusat pendidikan atas dakwaan mereka terbabit dengan insiden tersebut".

Ini setelah beberapa gambar tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki berpakaian seakan badut berdiri di luar apa yang kelihatan seperti Sekolah Rendah Temasek di Bedok South Avenue 3.

Sekolah rendah Tao Nan yang terletak berhampiran, memaklumkan ibu bapa dalam satu surat pemberitahuan bahawa polis telah memberi amaran tentang individu berpakaian badut kelihatan "berkeliaran di sekitar sekolah rendah dan meminta (pelajar) untuk mengikuti mereka".

Notis itu yang ditandatangani oleh pengetua sekolah itu menambah: "Tolong ingatkan anak/waris anda supaya tidak diumpan oleh mana-mana individu tidak dikenali dan maklumkan kepada sekolah atau hubungi polis dengan segera jika anak/waris anda melihat sebarang individu mencurigakan di sekitar premis sekolah."

PUSAT PENDIDIKAN MOHON MAAF KEPADA IBU BAPA

Susulan itu, sebuah pusat pendidikan, Speech Academy Asia tampil meminta maaf kepada ibu bapa kerana menyebabkan kebimbangan terhadap keselamatan anak mereka.

Pusat itu mempunyai lima cawangan di Singapura termasuk di Tampines dan Parkway Parade.

Ia mengakui bahawa promoter program pusat itu yang berpakaian badut adalah pekerjanya namun menegaskan anggota pasukan syarikat tersebut "tidak menawarkan sebarang bentuk ganjaran wang kepada kanak-kanak untuk mengikuti mereka".

Mesej yang tular di media sosial mendakwa bahawa individu-individu berpakaian badut menawarkan wang kepada kanak-kanak untuk mengikuti mereka.

"Lagipun, promoter kami tidak membawa kanak-kanak keluar dari tempat mereka," kata syarikat itu dalam satu catatan Facebook pada Isnin petang.

"Kami amat faham kebimbangan anda tentang keselamatan anak anda; lantas kami akan segera hentikan program promosi bergerak kami," tambah Speech Academy Asia.

Speaker Parlimen dan Anggota Parlimen Tan Chuan-Jin (PAP-Marine Parade) turut mengulas tentang kejadian itu dalam Facebook beliau: "Caranya itu tidak lucu. Memang berbahaya."

Polis juga mengingatkan orang ramai agar menjauhkan diri dari individu tidak dikenali dan melaporkan sebarang individu atau aktiviti mencurigakan.

"Hubungi 999 jika anda memerlukan bantuan segera dari polis, atau kunjungi Balai Polis Kejiranan yang terdekat untuk bercakap dengan seorang pegawai polis," menurut SPF. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan