Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa aduan polis dibuat berhubung kes lebih 40 jemaah gagal berangkat umrah

Lebih banyak perincian kini terbongkar berhubung kes lebih 40 jemaah umrah Singapura yang terkandas dan tidak dapat berlepas ke Arab Saudi. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih banyak perincian kini terbongkar berhubung kes lebih 40 jemaah umrah Singapura yang terkandas dan tidak dapat berlepas ke Arab Saudi. Pertama sekali, beberapa laporan polis kini sudahpun dibuat oleh para jemaah yang terjejas.

Menjawab pertanyaan kami, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan bahawa ia menerima aduan tentang kejadian itu. Sementara itu dua daripada mangsa insiden turut mengesahkan kepada kami bahawa selain mereka, terdapat beberapa mangsa lain yang turut membuat aduan polis. Menurut mereka lagi, kesemuanya seramai 44 orang terjejas dalam skandal umrah ini.

BERITAmediacorp juga dimaklumkan bahawa syarikat yang mengendalikan rombongan umrah itu ialah Khalifah SG Pte Ltd, sebuah syarikat yang beralamat di blok 537 Bedok North St 3. Orang yang mengendalikan rombongan umrah itu pula ialah ‘Ustaz’ Rasman Saridin, yang sebelum ini dikenali sebagai pengasas Persatuan HIRA.

Logo Persatuan Hira. (Gambar: Hira Society/Facebook)

Logo Persatuan Hira. (Gambar: Hira Society/Facebook)

Semasa kami periksa dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), badan penguasa Islam itu menjawab bahawa ‘Ustaz’ Rasman Saridin sebenarnya sudah “digantung buat beberapa waktu” daripada daftar Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). MUIS bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh dan sebab penggantungan tersebut.

APA YANG BERLAKU PADA ‘HARI KEBERANGKATAN’?

Hari keberangkatan bagi rombongan umrah itu seperti yang dijanjikan adalah Khamis 28 November. Salah seorang mangsa kejadian, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Diah, memberitahu BERITAmediacorp bahawa para jemaah diminta berkumpul di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi seawal pukul 7.00 pagi.

Sebagaimana jemaah lain, beliau dijadual berangkat bersama suami dan anak perempuannya pada jam 9.45 pagi.

Dokumen penerbangan menunjukkan pesawat para jemaah akan berlepas menggunakan Sri Lankan Airlines dari Changi ke Colombo. Kemudian dari Colombo mereka akan menyambung perjalanan ke Jeddah.

Maklumat penerbangan yang diterima Cik DIah. (Gambar ihsan: Diah)

Maklumat penerbangan yang diterima Cik Diah. (Gambar ihsan: Diah)

Menurut Cik Diah, ‘Ustaz’ Rasman kemudian memaklumkan kepada para jemaah bahawa terdapat masalah visa dan menyarankan supaya mereka pulang ke rumah masing-masing terlebih dahulu. Ini bagi membolehkan beliau menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh 12 jam.

“Bila dah balik, sekitar 11.00 pagi kami dimaklumkan tiada penerbangan dan mereka sedang mencari alternatif. Waktu itu Rasman masih meminta kami bersabar dan beliau berkata akan berangkat ke Jeddah pada petang hari itu untuk menguruskan isu visa di sana. Katanya dia akan pulang ke Singapura pada hujung minggu itu (30 Nov dan 1 Dis),” cerita Cik Diah, sambil menambah para jemaah yang rata-rata warga tua kelihatan hampa namun masih tetap ‘okay’.

“Malam itu, Rasman senyap terus. Langsung tidak ada perkembangan. Jadi kami putuskan untuk buat aduan polis dan STB menerusi emel,” tambah Cik Diah, 30 tahun, yang mengeluarkan belanja S$6,600 untuknya tiga beranak bagi umrah tersebut.

Rasman Saridin. (Gambar: Rasman Saridin/Facebook)

Rasman Saridin. (Gambar: Rasman Saridin/Facebook)

Apabila ditanya sama ada beliau mengesyaki bahawa ada yang tidak kena, Cik Diah menjawab bahawa pada awalnya beliau tidak terfikir sedemikian. Malah, pagi hari kejadian mereka menerima kiriman resit pembayaran bagi penerbangan Sri Lankan Airlines, hotel dan visa daripada ‘Ustaz’ Rasman sendiri.

“Tak terlintas di fikiran kita. Mereka pun ada pejabat di bawah Khalifah SG dan Persatuan Hira. Jadi saya yakin. Memang tak fikir apa-apa,” katanya.

Mengikut perancangan, pakej umrah 12 hari itu termasuklah penginapan 5 hari di Makkah dan 5 hari di Madinah dengan harga S$2,200 seorang.

PERJALANAN UMRAH PERNAH DIBATALKAN SEBELUM INI

Seorang lagi mangsa yang dihubungi BERITAmediacorp, Cik Zaiton Hassan, 53 tahun, memberitahu bahawa beliau sebenarnya sudah mendaftar dengan Khalifah SG seawal bulan Julai untuk menunaikan umrah pada bulan September.

Namun, perancangannya terpaksa ditunda setelah ‘Ustaz’ memaklumkan bahawa ia terpaksa dibatalkan kerana sudah tiada tempat. Cik Zaiton, yang pergi seorang diri, kemudian memutuskan untuk mengikuti rombongan umrah pada 28 November pula. Malah beliau juga sudah membuat bayaran penuh, S$2,250.

Walaupun kecewa, hati Cik Zaiton begitu terkesan kerana mendapat tahu bahawa ada keluarga dengan anak-anak kecil yang lebih terjejas berbanding dirinya.

“Ada satu jemaah, sampai sekarang saya teringat. Kesian. Dia pukul 5.00 pagi dah datang (ke Terminal 3). Dia pergi anak-beranak. Dia suami isteri, anak dia tiga ke empat orang. Saya rasa kos keseluruhan mereka belasan ribu. Kesian. Untuk saya, saya seorang sahaja, tetapi dia…,” Cik Zaiton melahirkan kesedihannya.

Lapangan Terbang Changi Terminal 3. (Gambar fail: Francine Lim)

Lapangan Terbang Changi Terminal 3. (Gambar fail: Francine Lim)

Apabila dimaklumkan tentang isu visa yang memerlukan mereka pulang ke rumah terlebih dahulu, Cik Zaiton langsung tidak menyangka ia adalah permulaan suatu kontroversi umrah.

“Macam saya ini pertama kali pergi umrah jadi saya ingat betul benda-benda seperti ini biasa terjadi. Saya tak tahu. Dia kata ada masalah dengan visa dan dalam masa 12 jam baru kita semua boleh diluluskan,” ujar Cik Zaiton.

“Masa itu kita tak ingat apa-apa. Tunggu punya tunggu sampai malam. Dia ada jawab dekat ‘group’ WhatsApp. Dia kata dia pergi Arab Saudi itu jam juga. Dia kata nak urus visa.

“Saya ada tanya juga, visa nak uruskan apa? Kata dah urus, cuma nak tunggu 12 jam? Dia tak jawab. Saya pun rasa lain macam. Yang lain-lain dalam ‘group’ pun rasa lain macam. Mereka telefon pun dia tak jawab,” kongsi beliau, yang juga kemudiannya membuat laporan polis pada hari Isnin (2 Dis).

CUBA DAPATKAN BALIK WANG

Sebagai antara jalan keluar bagi kemelut yang dihadapi para jemaah yang terjejas itu, STB memberitahu BERITAmediacorp, para jemaah mungkin boleh merujuk kepada agensi-agensi di bawah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) sekiranya mereka masih ingin meneruskan hasrat menunaikan umrah. Namun jemaah terjejas perlu membayar kos penuh pakej baru itu.

Bagi Cik Zaiton, beliau sudahpun mendaftar bagi pakej umrah dengan sebuah ejen bertauliah, Sunny Island Travel & Tours, untuk menunaikan umrah pada pertengahan bulan Januari 2020. Beliau mengeluarkan sekitar S$3,000 bagi pakej tersebut.

“Jumlah untuk umrah, ini dah S$5,000 lebih lah saya bayar,” kongsi beliau terus terang dengan jumlah kos kedua-dua umrah itu.

Bagi Cik Diah pula, buat masa ini tumpuannya adalah untuk mendapatkan semula wang tiket penerbangan. “Duit saya hilang, saya reda. Kalau dapat, dapat. Kalau tak, saya reda.”

Tiket penerbangan sebenarnya dibeli menerusi syarikat pelancongan SJ Holidays Pte Ltd, menurut dokumen-dokumen yang ditunjukkan Cik Diah. Jika mengikut peraturan, wang tiket tersebut sudah dikira ‘hangus’ kerana ‘no-show’ (tidak berangkat).

Namun Cik Diah berkata bahawa syarikat SJ Holidays sedang berhubungan dengan Sri Lankan Airlines untuk mendapatkan semula wang tiket pesawat itu kerana ini dianggap sebagai ‘situasi unik’. Pihak SJ Holidays juga tidak akan mengenakan sebarang yuran dalam situasi ini, tambah Cik Diah.

KHALIFAH SG BUKAN SYARIKAT PELANCONGAN?

Poster-poster seranta bagi rombongan umrah yang terjejas ini menunjukkan setiap jemaah perlu membayar antara S$2,000 hingga S$2,200 bagi setiap pakej. Jika ia membabitkan 44 jemaah, bermakna ini melibatkan jumlah wang hampir S$100,000 kesemuanya.

Pakej umrah yang ditawarkan Khalifah.sg. (Gambar ihsan: Diah)

Pakej umrah yang ditawarkan Khalifah.sg. (Gambar ihsan: Diah)

Dalam pada itu pemeriksaan BERITAmediacorp juga mendapati bahawa Khalifah SG Pte Ltd bukanlah sebuah syarikat pelancongan. Sebaliknya ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat penganjur acara dan kegiatan pengiklanan. Syarikat itu ditubuhkan pada Ogos 2018.

Dalam jawapan bertulisnya kepada kami mengenai kemelut umrah ini, STB menyatakan bahawa ia tidak menolak mengambil "tindakan lanjut seandainya ada sebarang pelanggaran undang-undang tertentu".

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan