Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Raya Geylang Serai diteruskan online tahun ini di wadah baru digital dek COVID-19

Bazar Raya Geylang Serai akan terus diadakan secara online pada tahun ini, menurut Persatuan Rakyat (PA) pada Rabu (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jan 2021 02:49PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 08:41PM

SINGAPURA: Bazar Raya Geylang Serai akan terus diadakan secara online pada tahun ini, menurut Persatuan Rakyat (PA) pada Rabu (13 Jan).

"Disebabkan oleh situasi COVID-19 yang sedang berubah, bazar-bazar fizikal dan pameran perdagangan yang lazimnya menarik ramai pengunjung, tidak akan dapat disambung semula," menurut PA dalam kenyataan medianya hari ini sambil menegaskan bahawa demi keselamatan dan kebajikan para penduduk, Bazar Raya Geylang Serai akan terus diadakan secara online dan melalui sebuah wadah digital yang baru.

Bazar itu akan diadakan antara 9 April hingga 13 Mei dan akan "menyemarakkan budaya dan warisan Melayu/Islam, dengan pelbagai pengalaman makanan dan gaya hidup bagi rakyat Singapura dari setiap peringkat usia", menurut PA.

"Serupa dengan tahun lalu, pengalaman online ini akan membolehkan ramai penduduk menimba kemahiran baru dan menikmati peluang baru untuk mengembangkan dan memperluaskan perniagaan mereka melalui wadah online."

Bazar Raya yang popular ini dibatalkan pada tahun lalu disebabkan oleh pandemik COVID-19, yang menyaksikan para pegerai beralih ke wadah online untuk menjual barangan mereka.

"WADAH ONLINE MESRA PENGGUNA"

Bazar itu merupakan kerjasama antara Wisma Geylang Serai bersama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI).

"Sebagai penguasa dan wakil perniagaan Melayu di Singapura, SMCCI berada di kedudukan baik untuk menarik sokongan para pegerai bazar tradisional dan membangunkan sebuah wadah bagi mereka menjual barangan dan produk makanan Hari Raya semasa musim perayaan ini.

"Kami berharap wadah online mesra pembeli ini dapat memudahkan pelbagai kaedah bayaran dan penghantaran barangan tepat pada waktunya," menurut PA.

PA juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, rakan kongsi korporat dan masyarakat serta para individu untuk mereka pelbagai program online dan aktiviti-aktiviti sampingan untuk mendampingi para penduduk, dengan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 dilaksanakan.

Program-program yang dirancang termasuk video-video muzik, komedi, membuat kuih, memasak dan bersenam yang akan disiarkan setiap hari di kesemua wadah media sosial Wisma Geylang Serai.

Ciri-ciri istimewa secara "live" seperti Rancangan E-Buka Puasa dan Rancangan Hari Raya turut ditampilkan, menurut PA.

Mereka yang teruja menantikan acara penyalaan lampu raya boleh menonton acara pelancaran yang akan disiarkan di media sosial.

"Sempena Bazar Raya Geylang Serai, acara penyalaan lampu raya adalah sebuah wadah baik untuk mengalami sendiri warisan, budaya dan gaya hidup masyarakat Melayu yang berwarna-warni, yang merupakan bahagian penting dalam identiti pelbagai budaya Singapura," menurut PA.

Penyalaan Lampu Raya akan diadakan antara 9 April hingga 23 Mei.

Selain itu, aktiviti-aktiviti sampingan seperti peraduan menulis lagu Hari Raya akan diadakan di mana para penggubah lagu boleh menampilkan lagu-lagu Raya yang baru. Lagu yang dipilih sebagai pemenang akan digunakan sebagai lagu tema dalam kesemua program Hari Raya anjuran Wisma Geylang Serai pada tahun ini. Sesi uji bakat akan diadakan menjelang Mac.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk Pertandingan Penyalaan Lampu Raya di Rumah di mana orang awam boleh menghias rumah mereka dengan lampu lap lip dan mengongsinya di media sosial.

Selain itu, sebuah kempen TikTok akan diadakan bagi meraikan acara berkenaan melalui akaun TikTok Wisma Geylang Serai.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan