Images
  • dumex
    (Gambar: AVA)

Bayi di KKH, NUH mungkin diberi susu Dumex Mamil Gold yang ditarik balik

SINGAPURA: Susu formula tepung bayi dari Dumex Mamil Gold Infant Formula - Step 1 yang dikesan mengandungi bakteria didapati digunakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (21 Ogos).

Kementerian itu menyatakan bahawa bayi yang berusia kurang enam bulan yang dimasukkan ke KKH dan NUH antara 1 dan 20 Ogos 2018 mungkin sudah diberi susu tepung yang terjejas itu.

Kedua-dua hospital sedang menghubungi ibu bapa dan penjaga bayi-bayi yang mungkin mengambil susu itu, untuk menasihati mereka mengenai tindakan yang harus diambil.

NUH memberitahu Mediacorp pada Rabu (22 Ogos) bahawa ia dengan segera berhenti menggunakan susu itu pada Selasa (21 Ogos) dan kini sedang menyemak rekod pesakit berusia kurang enam bulan yang dimasukkan ke hospital itu antara 1 hingga 20 Ogos.

Salah seorang bayi mungkin diberikan susu yang tercemar dan bapanya sudahpun dinasihati supaya memantau keadaan anaknya dan mendapatkan rawatan jika menunjukkan sebarang tanda kurang sihat, menurut NUH.

NUH menambah bahawa sejauh ini, ia tidak menerima sebarang aduan mengenai bayi yang mengalami tanda-tanda berhubung susu tepung yang tercemar itu.

Pada Isnin (20 Ogos), Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) mengumumkan bahawa sekumpulan susu tepung Dumex Mamil Gold Infant Milk Formula - Step 1 sudah ditarik balik setelah bakteria Cronobacter sakazakii dikesan dalam sampel-sampel produk itu.

Jangkitan bakteria Cronobacter secara umumnya jarang berlaku, namun ia boleh menyebabkan kematian ke atas bayi-bayi yang baru dilahirkan. Ini kerana ia dikaitkan dengan jangkitan serius seperti meningitis atau sepsis.

Produk-produk yang terjejas dihasilkan di Malaysia dan dari kumpulan 09117R1 dengan tarikh tamat tempoh tamat pada 11 September, 2019.

"MOH menasihatkan semua hospital pediatrik awam dan swasta supaya berhenti menggunakan produk yang terjejas itu dan memberitahu MOH jika ada kes-kes yang disyaki. Kami sedang memantau keadaan dengan teliti," menurut MOH.

Menurut MOH, tidak ada kes jangkitan Cronobacter yang berkaitan dengan penggunaan susu formula yang dilaporkan kepada MOH tahun ini.

Ibu bapa dan penjaga bayi yang menggunakan susu itu sebelum ini harus mendapatkan rawatan segera jika bayi mereka tidak sihat

APAKAH ITU CRONOBACTER SAKAZAKII?

MOH menjelaskan bahawa Cronobacter sakazakii adalah sejenis bakteria yang terdapat dalam alam sekitaran yang dapat bertahan dalam keadaan kering, dalam makanan kering seperti susu formula bayi dan susu tepung.

Ia tidak boleh tersebar dari orang ke orang.

Bayi dengan jangkitan Cronobacter mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti demam, menangis, kurang selera makan atau kelesuan. Sesetengah mungkin juga mengalami kejang.

Masa inkubasi adalah antara empat hingga sembilan hari, tetapi mungkin sehingga 21 hari. Jangkitan Cronobacter boleh dirawat dengan antibiotik.

Selain bayi, warga tua dan individu dengan sistem imun yang kurang baik juga boleh terjejas teruk oleh jangkitan Cronobacter. 

- CNA/AI/ai

Top