Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayaran tempat letak kereta di sekolah demi disiplin diri

Mengenakan bayaran tempat letak kereta di sekolah-sekolah adalah bagi menegakkan nilai disiplin diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran tempat letak kereta di sekolah demi disiplin diri

Gambar fail Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung. (Gambar: Justin Ong)

Diterbitkan : 25 May 2018 02:50PM Dikemas Kini : 25 May 2018 02:53PM

SINGAPURA: Mengenakan bayaran tempat letak kereta di sekolah-sekolah adalah bagi menegakkan nilai disiplin diri.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung, menerusi catatan di laman Facebook beliau, sebagai respons kepada ucapan Anggota Parlimen (AP) Seah Kian Peng di Parlimen mengenai keputusan kontroversial itu.

"Kita perlu menghormati sistem semakan dan imbangan dalaman. Kita tidak boleh memilih dapatan yag mahu ditangani atau dipatuhi. Ini adalah bagi menegakkan disiplin diri," menurut catatan Encik Ong di laman Facebooknya semalam (24 Mei).

Encik Seah, AP bagi GRC Marine Parade yang juga Timbalan Speaker Parlimen, berkata semasa membahaskan Ucapan Presiden pada 18 Mei lalu, keputusan itu satu "penghinaan" terhadap para guru yang sudah membelanjakan wang dan meluangkan masa mereka sendiri demi pelajar mereka.

"Tidak semua dasar pemerintah perlu merujuk kepada nilai harga. Kita perlu, dalam struktur sedia ada, memberi lebih ruang kepada leksikon moral, tugas, hubungan dan kepercayaan," kata beliau dalam satu ucapan yang dikongsi secara meluas online.

Encik Seah menggesa Kementerian Kewangan supaya mengambil kira "had harga, kos dan perbelanjaan, sebagai proksi nilai" dan meminta supaya ia membuat "pertimbangan moral sebagai satu bentuk perbahasan yang sah".

Menerusi catatannya hari ini, Encik Ong mengucapkan terima kasih kepada Encik Seah atas ucapan dan penulisannya: "Saya juga memberitahu beliau saya bersetuju dengannya bahawa kita tidak boleh membenarkan diri kita untuk melihat sesuatu hanya dari sudut kewangan saja."

Sungguhpun demikian, beliau berkata terdapat semakan dan imbangan dalam sistem tadbir urus Singapura, salah satu daripadanya adalah pemeriksaan Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) terhadap amalan-amalan berkaitan penggunaan dana awam.

Laporan Tahun Kewangan 2014/2015 AGO menunjukkan beberapa institusi pendidikan tidak mengenakan yuran atau mengenakan yuran yang terlalu rendah bagi tempat meletak kereta di kampus mereka. Ia disifatkan sebagai "subsidi tersembunyi" yang melanggar garis panduan pemerintah bagi pegawai perkhidmatan awam.

Setelah melakukan semakan, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pada bulan Mac lalu, bahawa sekolah-sekolah akan mula mengenakan caj mengikut kadar pasaran bagi tempat meletak kereta pada bulan Ogos.

"Sejajar dengan dasar gaji telus Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD), satu kadar bayaran musiman yang sesuai bagi tempat meletak kereta di sekolah-sekolah akan dikenakan," menurut MOE.

Semakan dan keputusan itu mencetuskan perbahasan dalam kalangan masyarakat umum dan ramai yang menyokong agar para guru tidak dikenakan bayaran.

Namun, Encik Ong berkata MOE tetap dengan keputusannya memandangkan ia perlu menangani dapatan AGO.

"Kami sudah menjelaskan kepada para pendidik kita tentang perlunya untuk mematuhi dasar gaji telus dan kita tidak boleh memberikan manfaat kepada hanya sekumpulan guru yang memandu. Tempat meletak kereta percuma juga bercanggah dengan khidmat awam lain," kata Encik Ong.

"Akhirnya, kita mesti akur bahawa langkah mengenakan bayaran bagi tempat meletak kereta adalah tugas kita untuk menangani dapatan AGO dan mematuhi sistem disiplin diri. Oleh itu, mengenakan bayaran bagi tempat meletak kereta adalah keputusan utama yang dilaksanakan disebabkan tanggungjawab."

Beliau menambah langkah itu bagaimanapun tidak sekali-kali melenyapkan penghargaan terhadap para guru dan pendidik. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan