Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayaran khas sekali kepada pekerja bagi kongsi peningkatan daya hasil

Saranan-saranan itu, yang diusulkan untuk syarikat-syarikat yang sudahpun menikmati peningkatan daya hasil pada 2017, dipersetujui setelah "rundingan intensif sehingga awal pagi".

Anggaran Waktu Membaca:
Bayaran khas sekali kepada pekerja bagi kongsi peningkatan daya hasil

(Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 31 May 2018 09:58PM Dikemas Kini : 31 May 2018 10:01PM

SINGAPURA: Saranan bagi syarikat-syarikat untuk memperuntukkan bayaran khas sekali sahaja antara S$300 dengan S$600 kepada para pekerja yang berpendapatan sehingga S$1,300 adalah perkara paling sukar untuk dipersetujui anggota Majlis Gaji Kebangsaan (UWC).

Demikian menurut Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Melvin Yong, hari ini (31 Mei).

Saranan-saranan itu, yang diusulkan untuk syarikat-syarikat yang sudahpun menikmati peningkatan daya hasil pada 2017, dipersetujui setelah "rundingan intensif sehingga awal pagi", kata para anggota NWC.

NWC terdiri daripada para wakil yang termasuk majikan-majikan, kesatuan sekerja dan Pemerintah.

Encik Yong berkata: "Namun kami semua bersetuju bahawa mesej yang ingin disampaikan ialah apabila terdapat peningkatan daya penghasilan, kami mahu memastikan ia dikongsi dengan para pekerja dan untuk memberitahu mereka bahawa kami akan bekerja lebih keras lagi pada tahun-tahun mendatang untuk terus meraih peningkatan daya penghasilan.

"Hanya dengan peningkatan daya hasil boleh kita meraih pertumbuhan gaji tahunan yang berdaya mampan."

Pengerusi NWC, Peter Seah berkata ini adalah kali pertama satu kuantum bayaran pukal diusulkan bagi peningkatan daya penghasilan dan ia menunjukkan penekanan NWC ke atas daya penghasilan, lebih-lebih lagi disebabkan pertumbuhan pada tahun lalu "boleh dipuji".

Pemerintah dan pelbagai pihak berkepentingan perikatan tiga pihak sudah menerima saranan-saranan NWC.

Selain bayaran secara pukal, NWC juga menyarankan kenaikan gaji antara S$50 dengan S$70 bagi para pekerja dengan pendapatan S$1,300.

Mewakili Pemerintah, Setiausaha Tetap bagi Tenaga Manusia Aubeck Kam berkata kuantum lebih tinggi pada kenaikan gaji tahun ini mencerminkan keadaan perniagaan lebih baik secara amnya, di samping mengekalkan kelonggaran bagi para majikan untuk memberikan kenaikan gaji.

"Pemerintah menyokong langkah NWC untuk meneruskan kejayaan usaha-usaha perikatan tiga pihak sebelum ini, untuk menaikkan aras gaji dan meliputi lebih ramai pekerja bergaji rendah," kata Encik Kam.

Dengan semua 23 Peta Transformasi Industri (ITM) sudah dilancarkan, NWC menyatakan para majikan perlu terus atau mula memanfaatkannya untuk
merangsang daya penghasilan dan perubahan.

Presiden Persekutuan Para Majikan Kebangsaan Singapura Robert Yap berkata para majikan seharusnya memanfaatkan program-program dan inisiatif yang dilancarkan oleh rakan-rakan perikatan tiga pihak untuk para pekerja mereka menimba kemahiran baru dan mewujudkan tenaga kerja yang tangkas untuk menyokong perubahan perniagaan mereka.

"Peningkatan daya hasil pada 2017 amat baik dan kita mesti meneruskan momentum itu untuk merangsang usaha-usaha daya penghasilan. Perubahan industri yang berjaya akan mewujudkan kerja-kerja bermutu, menajamkan kemahiran, memberi gaji yang lebih baik dan mampan serta mempertingkat ekonomi negara," kata Dr Yap. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan