Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bawa sejadah sendiri, elak jabat tangan: nasihat Pejabat Mufti ekoran perkembangan virus korona

Orang ramai diingatkan supaya terus meningkatkan tahap kebersihan dan mengekalkan perpaduan sedang masyarakat terus menghadapi cabaran penularan virus korona baru (2019-nCoV), menurut nasihat tambahan yang dikeluarkan Pejabat Mufti di MUIS pada Jumaat malam (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Bawa sejadah sendiri, elak jabat tangan: nasihat Pejabat Mufti ekoran perkembangan virus korona

Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SINGAPURA: Orang ramai diingatkan supaya terus meningkatkan tahap kebersihan dan mengekalkan perpaduan sedang masyarakat terus menghadapi cabaran penularan virus korona baru (2019-nCoV), menurut nasihat tambahan yang dikeluarkan Pejabat Mufti di MUIS pada Jumaat malam (7 Feb).

Irsyad atau garis pandu agama itu dikeluarkan sejajar dengan perkembangan terbaru penularan virus korona tersebut, dengan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat petang meningkatkan tahap penilaian risiko dari DORSCON kuning ke jingga dan jumlah kes jangkitan di Singapura meningkat kepada 33 orang.

BAWA ALAS SUJUD SENDIRI

Dalam irsyad yang dikeluarkan pada Jumaat (7 Feb), Pejabat Mufti menekankan "masjid-masjid merupakan tempat awam yang sering didatangi orang ramai", lantas adalah lebih penting umat Islam menitik beratkan langkah-langkah kebersihan yang dipertingkat.

"Jemaah yang berada di masjid pula perlu mengambil langkah-langkah yang dapat mengurangkan sebarang risiko kejangkitan. Sebagai contoh, karpet yang tidak dibersihkan dengan sempurna boleh mengandungi kuman virus sekiranya ada pesakit yang telah menunaikan solat di tempat yang sama. Oleh itu, jemaah dianjurkan supaya membawa alas sujud sendiri yang bersih untuk diletakkan di tempat sujud masing-masing."

Irsyad tambahan itu juga menekankan panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini supaya mereka yang sakit elak dari menghadiri majlis dan solat berjemaah di masjid.

ALKOHOL DALAM PEMBERSIH TANGAN BOLEH DIGUNAKAN

Menulis lebih lanjut, Pejabat Mufti menekankan beberapa langkah yang menurutnya sudah disentuh dalam panduan-panduan agama sebelum ini.

"Elakkan dari menyentuh antara satu sama lain seperti bersalam-salaman. Cukup dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Ini juga telah disebutkan di dalam garis pandu Pejabat Mufti pada tahun 2003 ketika penularan wabak SARS."

Selain itu, pihaknya menekankan perlu membasuh tangan dengan menyeluruh, sama ada dengan sabun atau bahan pembasmi kuman (hand sanitiser). Pejabat Mufti menambah, penggunaan bahan yang mengandungi alkohol itu atas keperluan perubatan "bukan dari jenis yang terlarang".

"Pembersih tangan yang mengandungi alkohol boleh digunakan, sepertimana yang telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Muis pada tahun 2008. Menurut fatwa tersebut, bahan alkohol yang digunakan dalam rawatan perubatan (termasuk juga hand sanitiser) bukan dari jenis yang terlarang."

HULURKAN BANTUAN, KEKALKAN PERPADUAN

Memandangkan keadaan penularan virus korona mungkin "mengambil masa bagi keadaan pulih kepada sedia kala", MUIS menambah akan perlunya setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing agar dapat mengatasi cabaran ini bersama.

"Marilah kita bersama-sama mengharungi saat-saat ini dengan penuh perpaduan dan mengambil berat antara satu sama lain. Hulurkan bantuan semampu mungkin kepada mereka yang memerlukan bantuan. Paparkan keprihatinan kita terhadap mereka yang terjejas, terutamanya mereka yang telah mendapat arahan untuk kuarantin," tulis pejabat Mufti.

"Marilah kita bersabar dalam mengatasi cabaran dengan penuh keyakinan kepada Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. mengekalkan kita di dalam keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat."

Pada Jumaat, MOH menaikkan tahap Sistem Respons Keadaan Wabak Penyakit (DORSCON) selepas beberapa kes jangkitan virus korona baru di sini, yang tiada kaitan dengan kes-kes lalu atau mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China.

DORSCON warna jingga bermakna penularan penyakit itu dianggap memudaratkan dan boleh mudah berjangkit dari manusia ke manusia meskipun ia belum merebak dengan meluas dan keadaannya terkawal.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan