Images
  • iPhone
    (Gambar: AFP/Fred Dufour)

Bateri ganti bagi iPhone di S'pura S$38, turun $$80 dari harga asal

SINGAPURA: Apple hari ini (29 Dis) mengumumkan harga tempatan bagi menggantikan bateri iPhone yang sudah tamat tempoh waranti. Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama syarikat itu memohon maaf atas cara ia mengendalikan isu prestasi bateri bagi model telefon lama.

Dalam kenyataannya, pembuat telefon bijak itu menyatakan, untuk menangani keprihatinan pengguna mengenai cara Apple mengekalkan pengalaman menggunakan iPhone model lama dengan mengeluarkan sofwe terbaru untuk membuatkannya berfungsi dengan perlahan, ia akan mengurangkan harga bateri dari AS$75 kepada AS$29.

Di Singapura, harga bateri ganti yang sudah tamat tempoh waranti adalah S$38, turun dari harga asal S$118, semasa program itu bermula lewat bulan Januari, Apple memberitahu Mediacorp.

Para pengguna boleh ke kedai Apple di Orchard Road atau penjual semula yang diluluskan untuk membeli bateri ganti, tambahnya.

Menurut kenyataan awal Apple, harga bateri yang dikurangkan itu boleh dibeli oleh pengguna iPhone 6 atau yang lebih baru, yang perlu menggantikan bateri mereka, bermula lewat Januari 2018 dan dijual seluruh dunia sehingga Disember 2018.

Apple juga menyatakan ia akan mengeluarkan pengemaskinian sofwe iOS dengan ciri-ciri yang membolehkan pengguna menerima lebih banyak maklumat mengenai prestasi bateri alat mudah alih mereka. Ini akan dibuat "awal 2018", tambahnya.

Permohonan maaf dan langkah-langkah meredakan isu yang disifatkan sebagai "batterygate" hanya dibuat setelah tindakan undang-undang difailkan ke atas gergasi teknologi itu di Amerika Syarikat, Israel dan Perancis. Sementara itu terdapat juga laporan-laporan kes serupa di Korea Selatan.

- CNA/NK/nk

Top