Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bas SBS langgar pembahagi jalan di Simei

Seorang pemandu bas SBS dikejarkan ke hospital setelah kenderaan tersebut menaiki pembahagi jalan raya di Simei pada Selasa (9 Jul), menyebabkan dua lorong ditutup kepada pengguna trafik.

Anggaran Waktu Membaca:
Bas SBS langgar pembahagi jalan di Simei

Petikan video dari kamera dalam kenderaan yang disumbagkan oleh pembaca CNA menunjukkan bas dua tingkat menaiki pembahagi jalan di Simei Road.

Diterbitkan : 10 Jul 2019 12:09AM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 12:12AM

SINGAPURA: Seorang pemandu bas SBS dikejarkan ke hospital setelah kenderaan tersebut menaiki pembahagi jalan raya di Simei pada Selasa (9 Jul), menyebabkan dua lorong ditutup kepada pengguna trafik.

Berdasarkan rakaman video daripada kamera yang dipasangkan dalam kenderaan - dikirimkan oleh seorang pembaca CNA - bas itu dapat dilihat terduduk di atas pembahagi yang terletak di tengah-tengah jalan raya empat lorong.

"Seluruh cermin bahagian depan bas berkecai," kongsi pembaca itu yang enggan mendedahkan namanya.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sampai ke tempat kejadian yang berlaku di persimpangan antara Simei Road dengan Simei Street 4 pada sekitar 6.40pm.

Pemandu wanita berusia 59 tahun itu dalam keadaan sedar apabila beliau dibawa ke Hospital Besar Changi, menurut polis.

Seorang penduduk Simei yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata beliau sedang makan malam apabila kemalangan itu berlaku. Beliau menyifatkan bunyi kemalangan itu seolah-seolah seperti "bangunan runtuh".

Menurut penduduk itu, Lyn, anggota-anggota SCDF and polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian disusuli dengan trak tunda yang sampai di lokasi 15 minit kemudian.

Dua lorong, satu di setiap sisi jalan raya di mana terletaknya pembahagi jalan yang dilanggar tersebut, ditutup dengan polis mengalihkan lalu lintas.

Siasatan masih dijalankan.

SBS Transit menyatakan pemandu bas terlibat sudahpun dikeluarkan daripada hospital sambil menambah bahawa ia sedang menyiasat punca kejadian.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan