Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bapa yang simbah air panas sehingga anak maut pernah tinggal di rumah tumpangan budak lelaki

Latar belakang bapa yang didakwa membunuh anak lelakinya berusia lima tahun didedahkan di mahkamah pada Jumaat (15 Nov), dengan bapa itu dipaparkan sebagai seorang kanak-kanak yang dulu tidak menerima kasih sayang seorang ibu dan tinggal di rumah tumpangan kanak-kanak lelaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa yang simbah air panas sehingga anak maut pernah tinggal di rumah tumpangan budak lelaki

(Gambar: Dokumen mahkamah)

Diterbitkan : 16 Nov 2019 02:49PM Dikemas Kini : 16 Nov 2019 02:56PM

SINGAPURA: Latar belakang bapa yang didakwa membunuh anak lelakinya berusia lima tahun didedahkan di mahkamah pada Jumaat (15 Nov), dengan bapa itu dipaparkan sebagai seorang kanak-kanak yang dulu tidak menerima kasih sayang seorang ibu dan tinggal di rumah tumpangan kanak-kanak lelaki.

Ridzuan Mega Abdul Rahman, 27 tahun, sedang dibicarakan bersama isterinya Azlin Arjunah kerana membunuh anak mereka pada 2016.

Mereka dituduh menyimbah air panas pada anak mereka sehingga dia rebah tetapi tidak dibawa ke hospital dengan serta-merta, sehinggakan dia meninggal dunia tidak lama kemudian. Budak lelaki itu sebelum ini tinggal bersama keluarga titipan, dan dikembalikan kepada ibu bapanya apabila dia berusia sekitar empat tahun.

Pakar psikologi Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Leung Hoi Ting memberi keterangan bagi pihak pendakwaan pada tengah hari Jumaat.

Beliau sudah menemu bual Ridzuan di Kompleks Perubatan Changi sekitar dua bulan selepas berlakunya pembunuhan itu dengan soalan-soalan tentang zaman kanak-kanaknya dan pengalaman tinggal di sebuah rumah tumpangan budak lelaki.

Beliau juga menilai daya inteleknya dan mendapati bahawa secara keseluruhannya dia "tidak memenuhi kriteria kurang daya intelek".

Penilaian intelek meliputi dua komponen - penilaian intelektual dan juga keupayaan untuk membuat penyesuaian.

Meskipun daya inteleknya "antara sangat rendah hingga bawah paras sederhana", kata Cik Leung yang mendapati dia bukan kurang daya intelek.

NENEK PANGGILNYA "BODOH", PAKCIK SUKAR MEMAHAMINYA

Peguam bela Eugene Thuraisingam berkata bahawa nenek Ridzuan, yang bekerja sebagai pembersih, akan memanggilnya "bodoh".

Sejak dia kecil, pakcik-pakciknya sukar memahami Ridzuan kerana dia akan bercakap dengan pantas dan ayat-ayatnya tidak bernas, menurut Encik Thuraisingam.

Bagaimanapun, apabila ditanya jika ia menjejas keupayaannya untuk menyesuaikan diri, Cik Leung berkata tidak.

Selain itu, Ridzuan gagal semua mata pelajarannya di sekolah rendah. Meskipun begitu, Ridzuan akan berasa "gembira' apabila dia mendapat markah ‘kosong’ bagi kesemua ujian dan peperiksaan, kata Encik Thuraisingam.

ADAKAH DIA ALAMI ADHD?

Cik Leung memberitahu mahkamah bahawa meskipun dia menunjukkan kegelisahan sepanjang sesi mereka selama tiga jam, kadang-kadang berbaring di atas meja dan kadangkala tersenyum dengan tidak sabar selepas itu barulah dia menjadi "lebih tenang".

Beliau tidak menyarankan penilaian lanjut bagi mengesahkan sekiranya Ridzuan mengalami gangguan kekurangan daya tumpuan (ADHD).

Seorang lagi doktor mendapati bahawa Ridzuan mengalami ADHD dan kecelaruan eksplosif selangan semasa kesalahan itu dilakukan, dengan kaitan antara gangguan berkenaan dan tingkah lakunya.

Encik Thuraisingam menekankan bahawa Cik Leung tidak mencuba untuk menghubungi ibu Ridzuan untuk mengesahkan keadaannya, jika perlu, dan tidak "melakukan segalanya" untuk menilai keadaannya.

Ibu Ridzuan meringkuk dalam penjara ketika itu, dan neneknya tidak dapat dihubungi.

Perbicaraan akan diteruskan pada pagi Isnin, dengan seorang konsultan Jabatan Psikiatri Am dan Forensik IMH.

Jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh, Ridzuan boleh dijatuhi hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan disebat. Isterinya akan menghadapi hukuman yang sama tetapi tidak boleh disebat.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan