Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bapa yang baling anak 9 tahun dengan penyangkut baju dipenjara

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memukul anak lelakinya disebabkan kerja sekolah dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Khamis (6 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa yang baling anak 9 tahun dengan penyangkut baju dipenjara

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Dec 2018 03:29PM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 03:32PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memukul anak lelakinya disebabkan kerja sekolah dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Khamis (6 Dis).

Lelaki tersebut yang namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti budak lelaki tersebut mengaku bersalah pada Jun terhadap satu dakwaan menganiaya seorang kanak-kanak di bawah jagaannya.

Insiden itu berlaku pada sekitar jam 9.00 malam pada 4 Ogos tahun lalu, apabila isteri lelaki tersebut, yang berusia 34 tahun, meninggalkan rumah untuk makan malam dengan kawan-kawannya.

Beliau meninggalkan anak lelakinya dalam jagaan suaminya, dan kanak-kanak kecil itu duduk di meja makan sambil membuat kerja sekolahnya sementara individu tertuduh menonton televisyen.

Lebih sejam kemudian, budak lelaki itu meminta bapanya menolongnya membuat kerja sekolahnya.

Lelaki itu memberitahunya supaya memikirkan jawapannya sendiri, dan budak lelaki itu memberi beberapa jawapan yang salah.

"Lelaki itu menjadi marah dengan kesilapan-kesilapan yang dibuat mangsa," menurut pihak pendakwa. Dia meninggalkan ruang tamu, dan kembali membawa penyangkut baju plastik, sementara anaknya merayu kepadanya untuk memaafkannya.

Dia menarik tangan budak lelaki itu dengan kuat daripada kerusi, mengakibatkannya terjatuh ke lantai.

Dia kemudian menarik kaki kirinya, supaya kaki budak lelaki itu diangkat ke atas dan kepalanya di bawah, lalu memukulnya di punggung dan kakinya dengan penyangkut baju itu dan kemudian menghayunnya dengan "sepenuh kekuatannya", menurut dokumen mahkamah.

Lelaki itu kemudian mengherdik anaknya, yang terbaring di lantai dalam keadaan bingung.

Budak lelaki itu memberitahu bapanya bahawa dia benar-benar tidak tahu jawapan untuk kerja sekolahnya, yang membangkitkan lagi kemarahan bapanya.

Lelaki itu menendang anaknya dua kali dan menengking: "Kamu tahu mengapa kamu tidak tahu jawapannya, kamu bodoh!"

Dia kemudian membaling penyangkut baju itu terhadap budak lelaki itu dan menendangnya sekali lagi sebelum mengejarnya ke dalam bilik, di mana dia memukul punggung anaknya dengan tangan.

Serangan terhadap budak lelaki itu dirakam oleh kamera litar tertutup yang dipasang di ruang tamu dan dimainkan di mahkamah.

Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital, di mana satu laporan perubatan menunjukkan bahawa dia mengalami banyak kecederaan di badannya.

Pasangan tersebut kini sedang menjalani proses penceraian.

PIHAK PEMBELA MINTA PROBESEN, KATAKAN HUBUNGAN SUDAH SEMAKIN BAIK

Timbalan Pendakwa Raya Jotham Tay meminta hukuman penjara selama empat bulan dengan mengatakan bahawa fakta-fakta kes amat membimbangkan.

"Jelas ia tidak dilakukan dengan cara terkawal bagi tujuan disiplin tetapi tercetus dari kemarahan," katanya.

Peguam bela lelaki itu, Encik T U Naidu, sebaliknya meminta agar tertuduh diberi probesen dan mengatakan bahawa hubungan antara tertuduh dengan mangsa "amat bertambah baik".

Beliau menambah, tertuduh sedang menjalani kaunseling dan seluruh keluarga sudah cukup rapat untuk memastikan insiden tersebut tidak akan berulang. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan