Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BAPA agihkan Pek Rahmah kepada 330 keluarga memerlukan di Jurong

Badan Agama & Pelajaran Radin Mas (BAPA) dan Kelab Rotary Kampong Gelam (RCKG) bergabung tenaga mengagihkan Pek Rahmah kepada 330 keluarga memerlukan pada Khamis (21 Mei) dan Jumaat (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
BAPA agihkan Pek Rahmah kepada 330 keluarga memerlukan di Jurong

Taufik Batisah, Ustaz Fizar Zainal dan Cef Bob semasa projek mengagihkan juadah Hari Raya tahun lalu. (Gambar fail, 2019: BAPA)

SINGAPURA: Badan Agama & Pelajaran Radin Mas (BAPA) dan Kelab Rotary Kampong Gelam (RCKG) bergabung tenaga mengagihkan Pek Rahmah kepada 330 keluarga memerlukan pada Khamis (21 Mei) dan Jumaat (22 Mei).

Pengagihan tersebut berlangsung di sekitar Jurong East dan Jurong West.

(Gambar: BAPA)

Menurut Pengarah Eksekutif BAPA, Ustaz Fizar Zainal, pengagihan Pek Rahmah itu bertujuan membekalkan sedikit barangan asas dan keperluan harian kepada keluarga-keluarga memerlukan bagi bulan Syawal yang bakal menjelang.

"Seringkali banyak sekali bantuan yang akan diagihkan sewaktu bulan Ramadan. Namun tatkala Syawal kunjung tiba, maka bantuan-bantuan akan mula berkurangan sewaktu minggu pertama dan kedua kerana banyak pertubuhan dan tenaga kerja akan berehat buat seketika.

(Gambar: BAPA)

"Oleh itu, BAPA dan RCKG mengambil langkah untuk menyediakan barangan-barangan asas agar keluarga-keluarga ini mempunyai persiapan asas meneruskan kehidupan harian mereka tatkala menunggu saluran bantuan yang lain yang bakal diteruskan setelah musim Hari Raya nanti," jelas Ustaz Fizar.

SYARIKAT F&B BERI KERJASAMA MESKI WABAK COVID-19

Meskipun diasak suasana suram dek penularan wabak COVID-19, pihak BAPA berbesar hati ia tidak sedikit pun menghambat niat dan sokongan murni syarikat-syarikat F&B untuk bekerjasama dengan mereka demi usaha amal itu.

BAPA dan Kelab Rotary Kampong Gelam mengagihkan Pek Rahmah kepada 330 keluarga memerlukan. (Gambar: BAPA)

(Gambar: BAPA)

"Pada tahun ini, rakan-rakan masyarakat kami terdiri daripada Mamanda Catering, Pastamania dan Nando's.

"Mereka menyediakan makanan untuk diagihkan sewaktu berbuka puasa di kalangan keluarga keluarga yang memerlukan," kongsi Ustaz Fizar.

(Gambar: BAPA)

Pengagihan tersebut juga dibantu para penuntut dari pelbagai institusi politeknik di Singapura.

BAKAL AGIHKAN JUADAH HARI RAYA

Sehubungan itu, BAPA juga bakal mengagihkan juadah Hari Raya kepada 135 keluarga pada malam Raya nanti.

Pertubuhan itu akan mengagihkan Kotak Kebahagiaan, yang terdiri daripada lontong, lauk rendang daging, lauk ayam masak merah, lauk sambal sotong kering, lauk sambal goreng pengantin, serunding kelapa, air minuman Fanta dan kuih-muih Raya.

Kotak Kebahagiaan itu disediakan oleh Pak Dollah Catering.

Usaha yang sudahpun dijalankan selama lima tahun itu akan turut dibantu dan disokong para personaliti tempatan seperti Taufik Batisah dan Cef Bob.

"Projek ini dilaksanakan dengan harapan agar di waktu-waktu suram seperti ini, BAPA ingin menyuntikkan perasaan kegembiraan dalam kalangan para penerima dan ingin memberitahu kepada mereka bahawa masyarakat majmuk mengambil peduli mengenai keadaan mereka dan akan terus membantu insya-Allah," jelas Ustaz Fizar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan