Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Banyak kekeliruan' bagi pegerai, penjual ikan sedang pasar ditutup

Para pemilik gerai ikan dan pembekal yang terpaksa menghentikan operasi menyusuli kemunculan kelompok COVID-19 di Pelabuhan Perikanan Jurong kini terawang-awang, dengan sebahagian daripada mereka "keliru" tentang sama ada mereka boleh buka semula perniagaan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Banyak kekeliruan' bagi pegerai, penjual ikan sedang pasar ditutup

Gambar fail: AFP

Diterbitkan : 21 Jul 2021 09:46PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 09:54PM

SINGAPURA: Para pemilik gerai ikan dan pembekal yang terpaksa menghentikan operasi menyusuli kemunculan kelompok COVID-19 di Pelabuhan Perikanan Jurong kini terawang-awang, dengan sebahagian daripada mereka "keliru" tentang sama ada mereka boleh buka semula perniagaan.

Ini selepas para pegerai ikan dan makanan laut segar di pasar-pasar yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau para pengendali yang dilantik diarah berhenti beroperasi pada Ahad (18 Jul).

Mereka juga dikehendaki menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dan mengasingkan diri serta tidak keluar dari rumah sehingga disahkan negatif virus tersebut.

Setakat petang tadi (21 Jul), terdapat 451 kes yang dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong - kelompok aktif paling besar di Singapura.

Kes-kes COVID-19 dikesan dalam kalangan penjual ikan di sekurang-kurangnya 11 pasar merata Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu.

Beberapa pemilik gerai memberitahu Mediacorp bahawa selepas diuji negatif pada Isnin atau Selasa, mereka masih belum menerima kemas kini daripada NEA mahupun MOH tentang sama ada mereka boleh membuka gerai-gerai mereka.

"Saya sudah menelefon NEA dan saya diberitahu bahawa saya harus tunggu notis selanjutnya," kata Encik Koh Keng hari ini.

Encik Koh adalah pemilik gerai bebola ikan Three Kings Hand Slam Fishballs di Pasar dan Pusat Makanan Serangoon Garden dan menguruskan lagi tiga gerai menjual ikan dan makanan laut segar.

Beliau diuji negatif COVID-19 semalam (20 Jul) selepas menutup kesemua gerai-gerainya pada pagi Ahad (19 Jul).

Katanya, terdapat "banyak kekeliruan" dalam kalangan pegerai tentang sama ada gerai-gerai mereka boleh dibuka semula.

"Bagi para penjual ikan kami yang berusia 60 atau 70 tahun, mereka tidak tahu apa yang berlaku, semua berita berbeza-beza. (Ia semua) khabar angin - anda bilang saya, saya bilang anda. Tidak ada apa-apa yang disahkan."

TUTUP PADA HARI KEDUA OPERASI

Bagi Encil Bryan Ang, pemilik The 11th Street Raw Cuts, hari Ahad sepatutnya hari kedua gerai makanan laut segarnya di Pasar Bulat Tampines beroperasi sejak ia baru dibuka.

Namun, penutupan itu bermakna bahawa lebih 300kg udang merah segar dan 160kg ketam tidak terjual.

Apabila para pegawai NEA melakukan rondaan pada awal pagi Ahad, isteri Encik Ang baru sahaja membuka kedai itu sedang beliau mengasingkan diri di rumah sementara menantikan hasil ujian COVID-19 beliau.

"Mereka datang dan mengarah kami untuk menyimpan semua barang dan tutup kedai dalam masa 10 minit. Oleh itu, kami banyak bekalan tidak terjual dan memandangkan ia makanan laut, tidak ada apa-apa yang kami boleh simpan untuk beberapa hari. Tidak ada orang yang akan membeli makanan laut untuk disimpan, semua orang akan membelinya apabila ia segar," cerita Encik Ang.

Pasangan itu mendermakan 120kg udang merah secara percuma dan membuang kebanyakan ketam mereka, menyebabkan kerugian antara S$6,000 dengan S$8,000, kata beliau.

PEMBEKAL IKAN DAN MAKANAN LAUT

Para pengimport dan pembekal yang bekerja di Pelabuhan Perikanan Senoko juga terjejas oleh penutupan Pelabuhan Perikanan Jurong serta gerai-gerai pasar basah.

Oleh sebab kebanyakan gerai-gerai di pasar basah dan gerai ikan ditutup, penjualan para pembekal juga kurang, kata Pengerusi Persatuan Peniaga Ikan Punggol merangkap CEO Seafood Element Daniel Pe.

"Jika mereka tidak boleh menjual ikan, siapa yang beli daripada kami? Tidak ada siapa yang beli daripada kami melainkan mereka yang membekal restoran-restoran dan hotel-hotel. Itu cerita berbeza," kata beliau.

Penutupan hanya dua minggu akan menyebabkan syarikat rugi sekitar S$10,000 hingga S$20,000, kata Pengurus Penjualan Fishmart SG Jackson Lim.

"Kami benar-benar berharap selepas dua minggu, apabila ia dibuka semula...SFA (Agensi Makanan Singapura) akan mengawal pelabuhan dengan ketat dan saya berharap semua orang akan bebas COVID-19," tambahnya.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan