Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantu syarikat dakapi teknologi, tingkat kemahiran pekerja antara tumpuan Belanjawan 2019

Belanjawan 2019 akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu syarikat-syarikat meningkatkan kemahiran para pekerjanya. Ini bagi memastikan mereka dapat terus berdaya saing dan kekal produktif di samping mampu merebut peluang untuk terus berkembang di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2019 07:34PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 01:18AM

SINGAPURA: Belanjawan 2019 akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu syarikat-syarikat meningkatkan kemahiran para pekerjanya. Ini bagi memastikan mereka dapat terus berdaya saing dan kekal produktif di samping mampu merebut peluang untuk terus berkembang di rantau ini.

Demikian menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa lawatannya ke pusat agihan NTUC yang terletak di Benoi, hari ini (14 Feb).

Mengulas dengan lebih lanjut tentang Belanjawan tahun ini, Encik Heng berkata beliau ingin perusahaan-perusahaan terus melatih dan meningkatkan kemahiran para pekerjanya.

"Tugas para pekerja dalam konteks masa kini berubah dan kita perlu membantu para pekerja mempelajari kemahiran baru. Saya rasa dengan cara ini, syarikat dapat terus berdaya saing. Para pekerja juga boleh menjadi lebih produktif dan menikmati pekerjaan lebih baik yang menawarkan gaji lebih tinggi," kata Encik Heng.

Dengan Perindustrian 4.0, terdapat banyak kemajuan teknologi. Maka itu, Encik Heng berkata keupayaan mendakapi teknologi baru menjadi kunci bagi masa depan lebih cerah.

"Ekonomi Singapura sangat terbuka, jadi kami perlu memikirkan tentang apa yang boleh dilakukan bagi menjalinkan lebih banyak kerjasama pada peringkat global supaya dapat mencapai kemajuan terbaik bagi syarikat-syarikat dan para pekerja kita."

Encik Heng mengambil FairPrice sebagai contoh sebuah syarikat yang mendakapi teknologi dalam operasinya.

Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik syarikat itu misalnya, menggunakan teknologi robot dan kenderaan tanpa pemandu pada satu sistem monorel. Kadar daya pengeluaran FairPrice naik seganda setelah tidak menggunakan penggerak palet untuk menjalankan operasi secara manual.

Belanjawan 2019 juga akan menumpukan perhatian kepada isu-isu sosial. Antaranya, adalah Pakej Generasi Merdeka, yang mana butiran lanjut akan dibentangkan pada 18 Feb nanti.

"Saya akan membentangkan perkara-perkara penting berkaitan dasar-dasar sosial kita. Khususnya, saya akan mengumumkan butiran tentang pakej Generasi Merdeka di samping berkongsi renungan tentang bagaimana kita memperingati 200 Tahun Singapura. Ia satu acara besar-besaran dan saya harap kami dapat mempelajari daripada masa lalu untuk melakarkan masa depan lebih cerah," jelas Encik Heng.

Beliau akan menyampaikan Belanjawan 2019 pada Isnin ini (18 Feb), dari jam 3.30 petang.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan