Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantu SME fahami lebih baik pelan industri: Ahli panel perbincangan pra-Belanjawan

Lebih banyak usaha perlu dijalankan demi membantu perniagaan tempatan - terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME) - supaya lebih memahami dan meraih manfaat daripada rancangan perubahan industri (ITM).

Anggaran Waktu Membaca:
Bantu SME fahami lebih baik pelan industri: Ahli panel perbincangan pra-Belanjawan

(Gambar: ISCA)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 11:42PM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 11:45PM

SINGAPURA: Lebih banyak usaha perlu dijalankan demi membantu perniagaan tempatan - terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME) - supaya lebih memahami dan meraih manfaat daripada rancangan perubahan industri (ITM) yang dilaksanakan pemerintah, kata para pemimpin dan penganalisis industri pada Rabu (9 Jan).

Komen-komen tersebut dibuat semasa perbincangan tahunan pra-Belanjawan yang dianjurkan oleh Institut Akauntan Bertauliah Singapura, di mana para ahli panel juga membincangkan keperluan untuk menyemak semula kuota pekerja asing dan peraturan hartanah tertentu.

PEMAHAMAN SAMAR-SAMAR

ITM adalah rancangan sektor khusus yang pertama kali diumumkan pada Belanjawan 2016 sebagai sebahagian daripada program transformasi industri bernilai S$4.5 bilion. Kesemua 23 ITM sudah dilancarkan setakat Mac tahun lalu.

Meskipun sudah dua tahun sejak ITM dilancarkan secara bertahap-tahap, syarikat-syarikat kecil dan sederhana hanya mempunyai pemahaman yang samar-samar tentang bagaimana mereka boleh memanfaatkan rangka tindakan tersebut, menurut para ahli panel.

Setiausaha Agung Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) Ahmad Magad berkata SME seringkali perlu dipujuk untuk menyertai program-program ITM.

Menurut beliau, ini akibat "kekurangan kesedaran dari segi apa yang boleh dilakukan oleh ITM untuk setiap sektor". Beliau mencadangkan rancangan-rancangan diperhalusi agar "lebih jelas (dan) lebih terperinci".

PEMERINTAH PERLU KERJASAMA DENGAN PERSATUAN

Selain kurang kesedaran, satu lagi keprihatinan adalah sama ada ITM bersifat cukup luas untuk menggalakkan usaha transformasi yang lebih meluas di kalangan perniagaan, kata ketua cukai KPMG Singapura, Tay Hong Beng.

Encik Liang Eng Hua, pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kewangan serta Perdagangan dan Perusahaan berkata ITM setakat ini sudah mula membuahkan hasil, namun lebih banyak boleh dilakukan.

Beliau juga mengatakan bahawa "usaha kolaboratif" diperlukan bagi ITM untuk berfungsi dengan baik.

"Kementerian dan agensi-agensi boleh menyampaikan mesej umum, tetapi mereka perlu bergantung kepada persatuan dan dewan perdagangan (TAC) untuk menyebarkannya kepada para anggota," kata Encik Liang, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah.

SEMAK KUOTA PEKERJA ASING, GERAN PEMERINTAH

Antara isu-isu lain yang dibangkitkan semasa perbincangan tersebut adalah menilai semula geran Pemerintah untuk memudahkan akses dan menjadikannya lebih relevan bagi perniagaan.

Encik Tay menarik perhatian bagaimana beberapa geran yang bertujuan membantu syarikat-syarikat dengan proses pendigitalan memberi tumpuan kepada "ideasi" (menghasilkan idea) berbanding "cabaran sebenar", iaitu pelaksanaan.

"Memikirkan idea-idea baru dan mewujudkannya hanyalah sebahagian daripada proses; cabaran seterusnya adalah pelaksanaan. Walaupun anda mempunyai idea yang baik, kos pelaksanaan atau faedah yang akan mengambil masa bertahun-tahun (untuk diraih) akan tetap menghambat perniagaan. "

Isu kekurangan tenaga kerja juga diketengahkan oleh beberapa pemimpin industri. Encik R Dhinakaran, presiden Persatuan Peruncit Singapura, bertanya sama ada terdapat cara yang lebih adil untuk menentukan kuota pekerja asing merentas industri.

Sebagai contoh, industri runcit lebih sukar mendapatkan pekerja Singapura. "Semua perkara ini perlu diambil kira apabila menetapkan kuota," katanya.

Manakala dalam dalam bidang teknologi kewangan (fintech) yang sedang membangun, kekurangan bakat teknologi berkemahiran tinggi telah menjadi satu "isu genting" bagi banyak syarikat pemula, kata presiden Persatuan FinTech Singapura Chia Hock Lai.

Selain melonggarkan had tenaga kerja, naib presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), Ang Yuit, menarik perhatian bahawa levi yang dikenakan ke atas pengambilan pekerja asing meningkatkan kos perniagaan.

Beliau berharap Pemerintah dapat mengkaji semula levi itu untuk membantu perniagaan tempatan kekal berdaya saing di rantau ini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan