Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantahan diadakan di kedutaan S'pura di Jakarta dek insiden imigresen

Para penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Singapura di Jakarta, sedang ia membuka pintunya untuk orang ramai menandatangani buku ucapan takziah bagi mendiang mantan Presiden Singapura, S R Nathan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bantahan diadakan di kedutaan S'pura di Jakarta dek insiden imigresen

Para penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Singapura di Jakarta. (Gambar: Facebook/Singapore Embassy in Jakarta)

Diterbitkan : 24 Aug 2016 08:57AM Dikemas Kini : 24 Aug 2016 09:41AM

SINGAPURA: Para penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Singapura di Jakarta, sedang ia membuka pintunya untuk orang ramai menandatangani buku ucapan takziah bagi mendiang mantan Presiden Singapura, S R Nathan.

Kedutaan Singapura di Jakarta menulis di Facebook bahawa sekumpulan penunjuk perasaan dari Pemuda Panca Marga (PPM), sebuah pertubuhan pro-tentera, berhimpun di kedutaan itu semalam (23 Ogos). Mereka membantah apa yang dipercayai adalah layanan buruk terhadap jeneral tentera Indonesia yang sudah bersara, Suryo Prabowo, di Lapangan Terbang Changi pada 17 Ogos.

Encik Suryo dihentikan para pegawai di lapangan terbang itu pada Rabu lalu sebagai "prosedur pemeriksaan bagi keselamatan sempadan", menurut kenyataan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Menurut kenyataan itu, beliau ditemubual oleh para pegawai pusat pemeriksaan selama 30 minit, dan dibenarkan menaiki pesawatnya selepas itu.

Menurut media Indonesia, Encik Suryo mengadu di media sosial bahawa beliau "disenaraihitamkan" semasa menyinggah di Lapangan Terbang Changi selepas tiba di sana dari Fiji.

Ketua Turus Tentera Indonesia (TNI) Jeneral Gatot Nurmantyo mengeluarkan nota bantahan terhadap atase pertahanan Singapura di Indonesia mengenai insiden itu, lapor Antara News.

"Kami sudah menulis kepada Kementerian Ehwal Luar untuk mengeluarkan nota bantahan kepada Singapura. Siapa tahu, mungkin saya akan disenaraihitamkan di Singapura bila-bila masa pada masa hadapan," katanya kepada Antara.

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir memberitahu The Jakarta Post bahawa nama yang serupa mungkin menyebabkan kelengahan itu.

"Imigresen sudah menyatakan ia pemeriksaan rutin oleh pihak berkuasa imigresen disebabkan nama yang sama," kata beliau.

"INI SATU DETIK SESUAI UNTUK INGAT SEMULA NASIHAT ENCIK NATHAN"

Kedutaan Singapura di Jakarta menyatakan: "Meskipun tunjuk perasaan diadakan di luar, orang ramai menandatangani buku ucapan takziah tanpa sebarang gangguan di dalam kedutaan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada polis Jakarta kerana memastikan ketenteraman dan undang-undang dikuatkuasakan, serta menjamin keselamatan kedutaan pada tempoh itu."

Ia menambah: "Ini satu detik sesuai untuk mengingat kembali apa yang Encik S R Nathan pernah berkata tentang nilai-nilai yang diperlukan untuk menjadi Pegawai Khidmat Ehwal Luar yang berjaya di Singapura: kesabaran, ketenangan, rendah diri, ihsan dan sikap yang baik.

"Lebih penting lagi, beliau mengingatkan kami bahawa para Pegawai Khidmat Ehwal Luar mesti mempunyai sikap patriotik dan rasa tanggungjawab, integriti dan kejujuran, serta keupayaan terus menjalankan tugas meskipun menghadapi tekanan. Nasihat yang akan dikenang buat selama-lamanya." 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan