Images
  • banjir kilat 2 dis
    Banjir kilat dilaporkan di Choa Chu Kang dan Jurong East pada 2 Disember 2019 (Petikan skrin: Facebook/SG Traffic United)

Banjir kilat di Jurong East, Choa Chu Kang, susuli 'hujan sangat lebat': PUB

SINGAPURA: Banjir kilat dilaporkan di Jurong East dan Choa Chu Kang menyusuli hujan lebat pada Isnin (2 Dis), menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui di beberapa lokasi.

Beberapa video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kereta bergerak melalui air keruh berwarna coklat.

Dalam satu video, air kelihatan mencecah paras buku lali para penumpang yang sedang menanti di perhentian bas. Di sebelah kiri perhentian bas, kelihatan tong sampah terapung sedang sebuah kereta berlalu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran pada Isnin petang hujan sederhana hingga lebat berserta guruh dijangkakan di banyak kawasan Singapura antara 3.15 petang dan 4.15 petang.

"PUB menyatakan banjir kilat mungkin berlaku sekiranya hujan lebat," tambahnya.

Ia kemudiannya melanjutkan amaran hujan lebat sehingga 5.30 petang.

Menurut kenyataan agensi air PUB di Facebook pada sebelah petang, banjir kilat berlaku di Jurong East Street 32 ​​dan Choa Chu Kang Ave 1 disebabkan "hujan sangat lebat" pada sekitar 3.20 petang.

Jalan-jalan raya tidak boleh dilalui di kedua-dua lokasi selama sekitar 20 minit akibat banjir, yang surut pada kira-kira 3.45 petang, tambahnya.

"Hujan paling lebat sebanyak 93mm dicatatkan selama sejam di bahagian barat Singapura. Ini membentuk kira-kira sepertiga daripada purata hujan yang diunjurkan iaitu sebanyak 318.6mm bagi bulan Disember," menurut PUB.

Singapura kini sedang mengalami monsun timur laut, dengan cuaca yang lebih lembab dijangka pada bulan ini.

Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam satu makluman nasihat pada Jumaat menyatakan gelombang monsun dijangka berpanjangan selama dua hingga empat hari pada separuh pertama bulan ini, dengan hujan sederhana hingga lebat diramalkan bagi beberapa tempoh.

Kebanyakan bahagian Singapura boleh menjangkakan hujan yang lebih banyak daripada biasa pada separuh pertama bulan Disember, tambahnya.

"Kami menggesa orang ramai agar berhati-hati dan elak berjalan atau memandu melalui kawasan yang dilanda banjir. Mereka perlu terus ikuti siaran radio dan menyemak halaman Facebook atau Twitter PUB untuk perkembangan terkini berhubung banjir," tambah PUB.

- CNA/TQ/tq

Top