Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banjir kilat di beberapa kawasan di S'pura dek hujan lebat

Kejadian banjir kilat dilaporkan di beberapa kawasan di Singapura, termasuk Bukit Timah, Jurong dan Ulu Pandan, akibat hujan lebat di merata negara petang ini (17 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Apr 2021 04:42PM Dikemas Kini : 17 Apr 2021 09:26PM

SINGAPURA: Kejadian banjir kilat dilaporkan di beberapa kawasan di Singapura, termasuk Bukit Timah, Jurong dan Ulu Pandan, akibat hujan lebat di merata negara petang ini (17 Apr).

Agensi Air Kebangsaan PUB memuat naik catatan di laman media sosial untuk memberi amaran tentang risiko banjir kilat.

Sekitar pukul 1.20 tengah hari tadi, PUB menyatakan menerusi catatan di laman Twitter bahawa terdapat risiko banjir berlaku di Terusan Ulu Pandan berdekatan Pine Grove, dengan paras airnya berada di tahap 100 peratus.

Banjir kilat di Ulu Pandan pada 17 Apr 2021. (Gambar: Tok Wee Peng)

Banjir kilat di Ulu Pandan pada 17 Apr 2021. (Gambar: Tok Wee Peng)

Sekitar setengah jam kemudian, PUB memberikan amaran serupa tentang kemungkinan besar banjir berlaku di Pusat Sime Darby di Dunearn Road.

Gambar-gambar dan video yang dikirimkan oleh para pembaca Mediacorp menunjukkan aliran trafik bergerak perlahan di jalan-jalan raya yang mengalami banjir.

Petikan gambar banjir di Bukit Timah bertentangan stesen MRT King Albert Park pada 17 Apr 2021. (Gambar: Varun Arora)

Petikan gambar banjir di Bukit Timah bertentangan stesen MRT King Albert Park pada 17 Apr 2021. (Gambar: Varun Arora)

Seorang penduduk yang tinggal di Jurong East Street 32 berkata kawasan tersebut "tidak pernah mengalami banjir seperti itu sebelum ini".

Penduduk berkenaan, yang enggan namanya didedahkan, berkata polis sudah menghadang kawasan tersebut untuk mengelak kereta daripada melaluinya.

Petikan gambar banjir kilat di Jurong East Street 32 pada 17 Apr 2021. (Gambar: Pembaca CNA)

Petikan gambar banjir kilat di Jurong East Street 32 pada 17 Apr 2021. (Gambar: Pembaca CNA)

Sebuah bas juga dilihat memandu "sangat perlahan" di kawasan itu, kata beliau.

Varun Arora, yang tinggal di Bukit Timah bertentangan stesen MRT King Albert Park memberitahu Mediacorp hari ini, meskipun beliau pernah melihat kawasan itu mengalami banjir, ia tidak pernah seteruk ini.

Sebuah gelanggang tenis berdekatan kediaman Encik Arora juga dilihat dinaiki air bah.

Menerusi satu catatan di laman Facebook sekitar pukul 12.00 tengah hari, PUB menyatakan hujan menyebabkan paras air di longkang dan terusan mencecah 90 peratus di beberapa kawasan.

Banjir kilat di gelanggang tenis di kondominium Maplewood di Bukit Timah pada 17 Apr 2021. (Gambar: Varun Arora)

Banjir kilat di gelanggang tenis di kondominium Maplewood di Bukit Timah pada 17 Apr 2021. (Gambar: Varun Arora)

PUB menasihatkan orang ramai supaya mengelak kawasan berikut:

• Craig Road / Duxton Road
• Tanjong Pagar Road / Craig Road
• Commonwealth Lane / Commonwealth Drive
• Commonwealth Lane (CERTIS)
• Exeter Road / Somerset Road
• Indus Road / Ganges Ave
• Pusat Sime Darby
• Dunearn Road / Hillcrest Road
• Jurong East St 32 (Blok 311)
• Dunearn Road (Tan Kah Kee DT Stop Log B)
• Terusan Bukit Timah (Gereja Leng Kwang Baptist)
• Sg Pandan Kechil (NUS)
• Ulu Pandan Canal (Pine Grove)1
• Neo Pee Teck Lane / Pasir Panjang
• Sg Pandan Kechil (AYE)
• West Coast Rd (Blok 409)
• Gul Circle
• Tuas Rd End OD
• Wan Lee Road / Enterprise Road
• Sg Pandan (Toh Guan East)
• Jalan Boonlay (Perhentian Bas B21339)
• International Road / Second Chin Bee Bee Road
• Jurong Town Hall Rd / West Coast Road
• Tanjong Penjuru / Penjuru Road
• Rose Lane (Tiang lampu 11F)

Jabatan khidmat kaji cuaca Singapura menyatakan menerusi Twitternya pada sekitar pukul 2.47 petang tadi bahawa hujan sederhana hingga lebat berserta guruh diramalkan berterusan di banyak kawasan di Singapura sehingga sekitar pukul 4.00 petang.

Menerusi ramalan cuacanya bagi tempoh dua minggu yang dikeluarkan semalam (16 Apr), jabatan itu menyatakan lebih banyak hujan berserta guruh boleh dijangkakan antara waktu sebelum subuh dengan sebelah pagi dalam minggu akan datang.

Jumlah hujan dalam April diramalkan melebihi jumlah purata di kebanyakan kawasan Singapura. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan