Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunkan belia berdaya masyarakat; capai aspirasi sepenuhnya

Golongan belia Melayu/Islam Singapura perlu membangunkan budaya saling berdaya antara satu sama lain, supaya mereka tidak terpisah dan dapat terus mencapai aspirasi sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan belia Melayu/Islam Singapura perlu membangunkan budaya saling berdaya antara satu sama lain, supaya mereka tidak terpisah dan dapat terus mencapai aspirasi sepenuhnya.

Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam mengongsi harapannya itu sambil menambah salah satu langkah pemberdayaan belia adalah menerusi sesi-sesi bimbingan.

Beliau berkata demikian di acara pelancaran Projek Soar, yang dirintis M³@Chua Chu Kang dan M³@Jurong.

BELIA JADI TUMPUAN M³

Golongan belia Melayu memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan masyarakat.

Malah, jumlah belia Melayu di sini juga tidaklah kecil sebaliknya merangkumi 16.7% daripada 1.5 juta belia di sini.

Melihat kepentingan ini, golongan belia dijadikan salah satu daripada bidang tumpuan oleh rangkaian kerjasama MUIS, MESRA dan MENDAKI, M³.

Untuk memastikan mereka dapat terus berkembang maju, satu program bimbingan dianjurkan buat pertama kalinya hasil kerjasama dua M³@Bandar.

Projek Soar, melibatkan 100 belia dengan mengajak belia berusia 17 tahun hingga 35 tahun membimbing remaja yang lebih muda, berusia antara 14 tahun hingga 16 tahun.

"Jadi ini adalah sesuatu yang kita ingin terus pupuk dalam masyarakat kita suatu budaya mentoring, di mana golongan yang sudah maju dan mungkin dapat ke universiti misalnya dapat kembali kepada masyarakat dan dapat membantu golongan yang lebih muda agar kita sama-sama dapat membangunkan masyarakat dan dapat memperkasakan mereka.

"Jadi, ini adalah satu program yang orang kata 'bawah ke atas' daripada golongan ahli-ahli jawatankuasa, akar umbi dari Keat Hong dan Chua Chu Kang misalnya, mereka bekerjasama dan memastikan ada program yang ada kaitan dengan masyarakat di sini jadi ini membuatkan sesuatu yang lebih bermakna kepada masyarakat dan memberikan belia sedikit suntikan, satu macam perangsang dan dorongan dan informasi di sekeliling mereka," kata Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam.

MENJANGKAUI RANGKAIAN MELAYU

Menariknya, sumber dan tenaga yang disalurkan tidak terhad kepada rangkaian Melayu sahaja.

Belia-belia itu juga turut didedahkan kepada aktiviti dan program nasional.

"Jadi di sini juga kita mendapati mentor yang bukan sahaja mentor Melayu tapi juga daripada masyarakat bukan Melayu dan ini memberi mereka, dan ini memberi pelajar-pelajar kira pendedahan kepada aktiviti ataupun pengalaman berlainan bukan daripada apa yang mereka dapatkan di sekolah," kongsi Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad.

SATU PUTARAN

Sepanjang tempoh sembilan bulan, para belia itu dibimbing menerusi beberapa sesi perkongsian dan jangkauan yang menyentuh isu-isu pekerjaan, khidmat masyarakat dan kebudayaan.

Salah seorang peserta Projek Soar ialah Mira Nadira Fathul Rahman, seorang relawan dari Masjid Al-Khair.

Sebagai mentor, beliau membimbing Shireen Farhana Mohamed Nazim, dari Sekolah Rendah Westwood.

"Saya akan memberikan sokongan saya dari segi mendengar, memahami cara mereka dan saya berkongsi pengalaman saya dalam bidang sukarelawan ini dari Masjid Al-Khair untuk mereka mendengar masalah-masalah mereka supaya mereka akan lebih terbuka berkongsi masalah," kongsinya dengan pihak kami.

Usaha dari 'bawah ke atas' itu diharap tidak hanya berhenti di peringkat program. Sebaliknya golongan muda yang telah dibimbing diharap dapat kembali dan berbakti kepada generasi seterusnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan