Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunkan bandar bijak, perjuangkan dagangan bebas, kata PM Lee

ASEAN dan Australia boleh mempertingkatkan kerjasama strategik dengan mengukuhkan daya tahan secara kolektif berhubung isu-isu keselamatan, membangunkan bandar bijak secara bersama dan menggandakan tekad untuk memperjuangkan pelonggaran perdagangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunkan bandar bijak, perjuangkan dagangan bebas, kata PM Lee

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 18 Mar 2018 04:33PM Dikemas Kini : 18 Mar 2018 04:42PM

SYDNEY: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Australia boleh mempertingkatkan kerjasama strategik dengan mengukuhkan daya tahan secara kolektif berhubung isu-isu keselamatan, membangunkan bandar bijak secara bersama dan menggandakan tekad untuk memperjuangkan pelonggaran perdagangan dan penyepaduan ekonomi serantau, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (18 Mac).

PM Lee menekankan demikian di Sidang Pleno Pemimpin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sydney, di mana beliau sedang menghadiri Sidang Khas ASEAN-Australia. 

Berucap bagi pihak Singapura di sidang pleno itu, PM Lee berkata bahawa tumpuan sidang tersebut adalah isu-isu keselamatan dan kemakmuran yang seiring dengan cabaran-cabaran yang dihadapi ASEAN dan Australia hari ini serta keutamaan ASEAN dalam mengukuhkan daya tahan dan keupayaan daya inovasinya.

Salah satu cara untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan Australia adalah dengan memperhebatkan daya tahan berhubung isu-isu keselamatan, khususnya keselamatan siber yang disifatkan oleh PM Lee sebagai "masalah rentas sempadan".

PM Lee selanjutnya berkata bahawa keselamatan siber memang menjadi tumpuan utama Australia sejak sekian lama dan negara itu sudahpun melancarkan beberapa inisiatif keselamatan siber sejak dua tahun lalu seperti Strategi Keselamatan Siber pada 2016 dan Strategi Pendampingan Siber tahun lalu.

Menurut PM Lee, Dialog Dasar Siber ASEAN-Australia boleh dijadikan sebagai wadah untuk saling bertukar-tukar pandangan mengenai dasar dan usaha membina keupayaan yang lebih luas.

Satu lagi cara untuk ASEAN dan Australia sama-sama mengukuhkan ikatan ini adalah dengan membangunkan bandar-bandar bijak yang dapat meningkatkan kehidupan rakyatnya.

Sehubungan itu, ASEAN dan Australia juga harus menggandakan usaha masing-masing untuk melonggarkan perdagangan dan memacu penyepaduan ekonomi serantau, kata PM Lee, sedang arus global kini lebih menentang perdagangan antarabangsa dan globalisasi.

Maka itu, menurut PM Lee, adalah penting untuk ASEAN dan Australia giat berusaha untuk mempertingkatkan globalisasi dan perdagangan bebas, di samping memantapkan mekanisme perdagangan yang sedia ada. Beliau turut merujuk kepada semakan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand yang berkuat kuasa sejak 2010.

Beliau juga menarik perhatian kepada perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) yang dimeterai di Chile minggu lalu yang berupaya membuka laluan baru ke arah ketersambungan dan perdagangan yang lebih luas dan menguntungkan.

Dalam hal ini, PM Lee berkata, langkah seterusnya adalah untuk menggerakkan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang sedang dirundingkan kedua-dua pihak buat masa ini.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan