Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunan pasang siap tertinggi di dunia akan dibangunkan di Bukit Merah; 2 menara setinggi 192 meter

Sepasang bangunan pencakar langit di Singapura dijangka akan menjadi bangunan pasang siap tertinggi di dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan pasang siap tertinggi di dunia akan dibangunkan di Bukit Merah; 2 menara setinggi 192 meter

(Gambar: ADDP Architect)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 02:26PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 03:16PM

SINGAPURA: Sepasang bangunan pencakar langit di Singapura dijangka akan menjadi bangunan pasang siap tertinggi di dunia.

Meskipun dua menara setinggi 192 meter setiap satu itu akan dibina di Bukit Merah, sebahagian besar strukturnya sedang dikilangkan di seberang tambak di Malaysia, lapor CNN.

Projek perumahan yang diberi nama Avenue South Residences itu akan menempatkan 988 apartmen yang dibina menggunakan hamper 3,000 modul yang disusun tegak.

Kaedah binaan PPVC mengurangkan keperluan tenaga kerja dan boleh bantu mengurangkan sisa dan pencemaran bunyi.

DIKILANGKAN DI SEBERANG TAMBAK

Setiap modul dikilangkan di Senai, Malaysia, di mana kotak-kotak segi enam diacu dalam konkrit. Unit-unit itu kemudian dibawa ke sebuah kemudahan di Singapura untuk dipasang dan dilengkapi dalamannya sebelum dipindahkan ke tapak binaan, lapor CNN.

Rakan kongsi firma ADDP Architects, Markus Cheng Thuan Hann memberitahu CNN bahawa kotak-kotak tersebut dihantar ke tapak binaan dalam keadaan 80% siap. Ia kemudian diangkat oleh sebuah kren dan kemudian diletakkan pada kedudukan yang sudah diperuntukkan untuk “digabungkan” bagi membentuk rangka kuat yang boleh menahan muatan yang berat.

KURANGKAN TENAGA KERJA, GANGGUAN

Encik Hann berkata bahawa kerja-kerja yang berkurangan di tapak binaan yang terletak di Bukit Merah, iaitu kawasan perumahan yang sibuk, membantu untuk mengurangkan gangguan pada para penduduk berdekatan.

Satu lagi manfaat yang tidak dijangkakan sebelum ini adalah tidak begitu ramai kakitangan perlu berada di tapak binaan pada satu-satu masa. Di tengah-tengah pandemik COVID-19, ini memudahkan pelaksanaan langkah-langkah jarak selamat.

DIDORONG OLEH AGENSI PEMERINTAH

CNN melaporkan bahawa kaedah binaan pasang siap PPVC amat popular di Singapura, lebih-lebih lagi memandangkan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) giat menggalak penggunaan PPVC.

BCA dilaporkan CNN sebagai menyatakan bahawa ia mendatangkan penjimatan kos 8% dan daya penghasilan pula melonjak 40% berbanding kaedah binaan tradisional.

Bahkan sejak 2014, agensi itu mewajibkan penggunaan kaedah pasang siap bagi tapak-tapak binaan tertentu.

Kerja-kerja binaan projek Avenue South Residences sudahpun bermula. Pihak pemaju UOL Group Limited berharap untuk menyiapkan projek itu menjelang suku pertama 2023.

Bahagian hadapan menara-menaranya akan dilengkapi dengan balkoni, skrin pelindung suria untuk berteduh dari sinaran matahari dan “teres-teres langit” yang penuh dengan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan, menurut CNN.

Projek tersebut bakal memecahkan rekod Singapura dan dunia yang ada sekarang bagi bangunan pasang siap tertinggi di dunia, iaitu Clement Canopy setinggi 140 meter, yang juga direka oleh ADDP Architects. 

Sumber : Agensi berita/ZM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan