Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunan kilang lama National Aerated Water di Serangoon Road bakal dipulihara

Bangunan utama bekas kilang National Aerated Water akan diwartakan untuk dipulihara sebagai mengiktiraf nilai warisannya, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (15 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan kilang lama National Aerated Water di Serangoon Road bakal dipulihara

Bangunan kilang lama National Aerated Water di 177 Serangoon Road. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 15 Dec 2017 03:36PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 03:39PM

SINGAPURA: Bangunan utama bekas kilang National Aerated Water akan diwartakan untuk dipulihara sebagai mengiktiraf nilai warisannya, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (15 Dis).

Syarikat Selangor Dredging Berhad (SDB), pemilik bangunan reka bentuk Art Deco yang terletak di Serangoon Road itu menyokong usaha pemuliharaan tersebut dan bekerjasama dengan URA untuk "melestarikan bangunan tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah nasional," menurut URA dalam satu kenyataan di lamannya.

Bangunan tersebut akan diubah menjadi "kawasan komersil yang unik dan bertenaga" bersebelahan dengan penghubung taman dekat Sungai Kallang, kata Cik Teh Lip Kim, pengarah pengurusan SDB.

Ia akan disepadukan menjadi sebuah pembangunan perumahan baru, menurut URA. Selain itu, bangunan tersebut tidak akan dipagar agar orang awam boleh menikmati "permata warisan ini".

Bangunan berkenaan siap dibina pada 1954 dan merupakan mercu tanda bagi masyarakat tempatan. Ketika itu, ia beroperasi sebagai kilang pembotolan minuman ringan seperti Sinalco, Kickapoo Joy Juice dan Royal Crown Cola.

Ia juga salah satu struktur yang memaparkan sejarah Sungai Kallang sebagai lokasi perindustrian yang masih berdiri.

Bangunan utama dua tingkat yang berbentuk L di Serangoon Road itu dan menaranya akan dipulihara, menurut URA.

Ciri-ciri lain bangunan itu yang turut dipulihara termasuk balkoni bangunan dengan tembok batu-bata, panel kayu Art Deco dan belebas konkrit yang memberi teduh.

Satu sudut bangunan beserta lantainya juga akan dibina semula untuk membolehkan kenderaan mengakses bahagian belakang tapak tersebut dan untuk memudahkan "penggunaan semula bangunan yang dipulihara itu", tambah URA.  

Sumber : CNA/SM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan