Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunan BCA pertama jana lebih tenaga daripada yang digunakan

Menjelang pertengahan 2019, Singapura akan mempunyai bangunan institusi pertamanya yang menghasilkan lebih banyak tenaga daripada yang digunakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan BCA pertama jana lebih tenaga daripada yang digunakan

Bangunan Sifar Tenaga BCA. (Gambar: Akademi BCA/ Facebook)

Diterbitkan : 25 Aug 2018 11:16PM Dikemas Kini : 25 Aug 2018 11:18PM

SINGAPURA: Menjelang pertengahan 2019, Singapura akan mempunyai bangunan institusi pertamanya yang menghasilkan lebih banyak tenaga daripada yang digunakan.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) sedang menaik taraf Bangunan Tenaga Sifarnya di Braddell yang akan dilengkapi dengan teknologi-teknologi baru. Melalui usahanya ini, BCA berharap lebih ramai pemaju hartanah akan mengikuti jejaknya.

Antara ciri-ciri baru dalam bangunan tersebut adalah bidai bijak yang akan diselaraskan secara automatik sekiranya sebuah ruang menjadi terlalu terang atau gelap. Ini akan membantu mereka yang berada dalam bangunan berasa lebih selesa, di samping menjimatkan tenaga.

Satu sistem bijak yang akan menentukan tempat duduk seseorang berdasarkan tahap keselesaan dengan suhu bilik juga sedang diuji. Mereka yang boleh menahan suhu lebih tinggi akan ditempatkan di bawah kipas yang beroperasi dengan lebih perlahan.

Itulah antara teknologi-teknologi baru yang diteroka sekumpulan penyelidik bagi memastikan Bangunan Tenaga Sifar BCA dapat menggunakan tenaga secara lebih berkesan.

"Jika anda ingin membina sebuah bangunan yang mampu jimat tenaga, sudah pasti cara lebih mudah adalah membinanya dari permulaan. Namun, ia melibatkan kos yang sangat tinggi dan oleh kerana jika dibandingkan, kos tenaga masih lebih rendah, maka mereka tidak akan terdorong untuk menjadikan bangunan itu cekap tenaga," kata Ketua Program SinBerBEST, Profesor Costas Sapanos.

Para pemaju hartanah juga mempunyai pandangan serupa dan berpendapat bahawa ia melibatkan kos besar untuk menaik taraf sebuah bangunan semata-mata supaya ia menjadi lebih mesra alam. Namun, mereka akui, akan ada penjimatan pada jangka masa panjang.

"Misalnya, penyaman udara dalam sebuah pejabat yang sederhana saiznya, perlu belanja kos sekitar S$2 juta untuk menggantikan loji penyaman udara yang lama, dan bangunan lebih besar seperti Republic Plaza misalnya, kosnya mencecah sekitar S$4 juta atau S$5 juta. Jika dihitung kembali, kami sebenarnya boleh dapatkan kembali jumlah yang sama bagi pelaburan menggantikan sistem penyaman udara ini dalam tempoh lima tahun," kata Ketua Perkhidmatan Reka Bentuk Kejuruteraan dan Teknikal, Anthony Goh.

Buat masa ini, terdapat 3,300 bangunan mesra alam di Singapura yang diiktiraf di bawah Skim Tanda Hijau. Jumlah itu satu peningkatan daripada hanya 17 bangunan apabila ia dilancarkan 10 tahun lalu.

"Sektor-sektor pemerintah sudah mempergiat usaha, menetapkan syarat-syarat semasa tender dibuka, dan juga ketika menetapkan sasarannya. Kedua, sektor privet sudah melihat sendiri manfaat yang boleh diraih daripada bangunan seperti ini, sebahagiannya juga kerana ada permintaan daripada orang ramai, para pengguna dan pemaju hartanah privet. Jadi lebih ramai yang menyahut cabaran ini dan menganggapnya satu peluang baru untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata Pengarah BCA Dr Gao Chun Ping.

Kerja-kerja naik taraf bagi Bangunan Sifar Tenaga akan mula dijalankan pada suku keempat tahun ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan