Images
  • prison a level\
    Menteri Negara MHA Dr Muhammad Faishal Ibrahim bertemu dengan 'Frank' di Sekolah Penjara Tanah Merah pada 22 Feb 2021. (Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

Banduan ini lulus GCE 'A' dengan keputusan membanggakan; kini bertekad lanjutkan pengajian di NUS

SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim melakukan lawatan ke Sekolah Penjara Tanah Merah semalam (22 Feb) untuk mengucapkan tahniah kepada para banduan yang menerima keputusan Peperiksaan Peringkat GCE 'A'.

Dalam catatan Facebooknya, Dr Faishal mengongsi bahawa lapan banduan menduduki peperiksaan tersebut dan tiga daripada mereka layak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

IBU TUNGGAK KEKUATAN

Banduan bernama Frank (bukan nama sebenar) muncul sebagai calon dengan markah tertinggi setelah meraih 5 gred A dan 1 gred B.

"Frank mengongsi dengan saya bahawa ibunya adalah tunggak kekuatan dan dorongan buat dirinya," ujar Dr Faishal.


"Saya rasa tersentuh setelah diberitahu bahawa dia merancang untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kewartawanan."

Dr Faishal turut melahirkan rasa bangganya atas pencapaiannya itu.

BELUM TERLAMBAT MESKI USIA SEPARUH ABAD, DIPENJARA SEUMUR HIDUP

Banduan tertua yang menduduki Peperiksaan GCE 'A' pula berusia 49 tahun, menurut catatan Facebook Captains of Lives terbitan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Usianya yang hampir mencecah separuh abad dan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atasnya tidak menghalang Tim (bukan nama sebenar) berusaha gigih meraih 2 gred 'A' bagi subjek H1 Matematik dan Bahasa Ibunda serta markah cemerlang bagi ujian Lisan Bahasa Ibunda.

Dua tahun lalu, Tim meraih markah agregat membanggakan - 9 mata - bagi Peperiksaan Peringkat GCE 'O' pada usia 47 tahun.


"Saya berulang kali diberikan peluang kedua dalam kehidupan.

"Yang pertama adalah ketika terlepas daripada tali gantung atas kesalahan dadah dan hukuman saya dikurangkan kepada penjara seumur hidup pada 2012 dan kedua, apabila saya berpeluang untuk belajar semula pada 2018."

Tim mengongsi bahawa dia seolah-olah bersaing dengan anak lelakinya berusia 19 tahun, yang sedang memburu diploma setelah memperolehi markah gred purata (GPA) 3.9 bagi kursus Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Bahkan persiapan Tim untuk menduduki Peperiksaan Peringkat GCE 'A' juga merapatkan hubungannya dengan anak lelakinya kerana lebih banyak perkara yang kini boleh dibincangkan secara bersama, menurut catatan Captains of Lives.

Tim melahirkan penghargaannya kepada Pegawai Pemulihan Mohd Faizal yang memainkan peranan penting dalam pembelajarannya.

"Setiap hari beliau membantu saya sedaya mungkin dan memudahkan saya untuk mendapatkan buku-buku agama sekiranya saya memerlukannya," kata Tim.

Tim berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya dan terus menimba pengetahuan meskipun meringkuk di penjara sehingga akhir hayatnya.

"Jangan tumpukan perhatian kepada kesenangan sementara.

"Terapkanlah minat untuk belajar. Bukan sahaja menerima didikan tetapi untuk benar-benar belajar. Perubahan berlaku sebaik saja anda mula belajar."

Sebelum mengakhiri catatannya, Dr Faishal berkata, beliau tersentuh dengan tekad para banduan untuk pulang ke pangkal jalan. 

- BERITAmediacorp/zm

Top