Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banduan akhir, kakitangan penjara antara lebih 200 kes COVID-19: SPS

Lebih 200 individu daripada keseluruhan kemudahan penjara termasuk banduan dan kakitangan, diuji positif bagi COVID-19 dan berada dalam tahap pemulihan yang berbeza, menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) pada Khamis (11 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Banduan akhir, kakitangan penjara antara lebih 200 kes COVID-19: SPS

(Gambar: Mediacorp/Amir Yusof)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 08:55AM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 08:57AM

SINGAPURA: Lebih 200 individu daripada keseluruhan kemudahan penjara termasuk banduan dan kakitangan, diuji positif bagi COVID-19 dan berada dalam tahap pemulihan yang berbeza, menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) pada Khamis (11 Nov).

Dalam satu kenyataan media, SPS menyatakan setakat Rabu (10 Nov), kiraan itu meliputi 169 banduan, 54 individu diselia dan sembilan kakitangan. Individu diselia atau 'supervisee' merupakan para banduan yang berada di hujung tempoh hukuman dan bekerja dalam masyarakat melakukan pekerjaan seperti dalam sektor logistik, pembersihan dan makanan dan minuman.

SPS memberikan komen itu setelah hukuman mati pengedar dadah warga Malaysia Nagaenthran Dharmalingam ditunda pada Selasa (9 Nov) setelah dia diuji positif bagi COVID-19.

Tiada sebarang kakitangan atau banduan yang dimasukkan ke hospital disebabkan COVID-19. Tiga banduan diselia kini berada di hospital kerana mereka mengalami gejala namun keadaan mereka kini stabil, menurut SPS.

Dalam kalangan 169 banduan, 116 berasal daripada Institusi A1 di Kompleks Penjara Changi termasuk para banduan yang dikenakan hukuman mati. Mereka diuji positif bagi COVID-19 dari 6 November hingga 10 November.

Baki banduan terdiri daripada para banduan baru yang dijangkiti sebelum memasuki penjara dan mereka yang melaporkan sakit bergejala ketika berada dalam penjara.

SPS menyatakan ia buat sementara waktu menempatkan Institusi A1, di mana Nagaenthran berada, di bawah perintah berkurung dan mempertingkatkan rejim ujian bagi para banduan dan kakitangan SPS serta para vendor dan relawan yang memasuki tempat itu.

LAWATAN BERTEMU MUKA DIGANTUNG

Lawatan bertemu muka dengan para banduan akhir digantung buat sementara waktu dan digantikan dengan panggilan telefon bagi mengehadkan pergerakan dalam penjara dan mengurangkan risiko penularan COVID-19, menurut SPS.

Walaupun lawatan bertemu muka digantung bagi para banduan biasa sejak 4 Oktober, para banduan akhir diberi pengecualian disebabkan "situasi mereka yang unik". SPS menyatakan bahawa lawatan bertemu muka akan dibenarkan semula apabila keadaan di sana bertambah stabil.

Kesemua sesi kaunseling digantung namun sesi secara maya boleh diatur apabila situasi bertambah baik, menurut SPS.

SPS menyatakan ia melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk melindungi golongan mudah terjejas, termasuk warga emas dan banduan yang mudah terjejas dari segi perubatan. Ini termasuk menempatkan mereka dengan banduan-banduan yang lengkap divaksin dan menjalani ujian rutin berjadual jika mereka perlu berada di wad perubatan bagi tempoh berpanjangan.

"SPS komited untuk memastikan jagaan selamat dan terjamin bagi para banduan kami serta memenuhi keperluan pemulihan mereka," menurut SPS pada Khamis.

"Sedang kita bergerak ke arah menangani COVID-19 dalam tahap endemik, SPS akan terus menyemak dan menyesuaikan langkah-langkah berdasarkan situasi yang berubah-ubah dalam masyarakat, supaya para banduan boleh meneruskan dengan aktiviti pemulihan dan riadah secara lebih bermakna dan selamat."

Setakat 7 November, 99.5 peratus kakitangan SPS dan 90 peratus golongan banduan yang layak sudah lengkap divaksin, menurut SPS. Pemberian vaksin penggalak bagi kedua-dua kakitangan dan banduan bermula pada Oktober lalu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan