Images
  • SPORT

Bakat-bakat sukan bantu promosikan S'pura sebagai hab lasak

SINGAPURA: 41 bakat sukan tanah air menyumbang tenaga membantu Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menarik pelancong ke negara ini dalam sebuah video promosinya.

Berjudul 'Be Unstoppable', kempen terbaru itu menawarkan sisi lain negara ini sebagai tempat bagi aksi lasak dan program mengembara.

Tiga atlit cilik berkongsi pengalaman mereka dalam pembikinan video itu bersama BERITAmediacorp

MINAT AYAH DITERUSKAN ANAK-ANAK

Ke manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Inilah pepatah yang tepat untuk menggambarkan keluarga Encik Fandy Razak.

Meskipun impiannya untuk menjadi seorang pemain papan luncur profesional terbantut, Encik Fandy boleh berasa bangga melihat anak-anaknya, Aedan dan Matin, dipilih untuk menjadi wajah kempen baru STB untuk menarik pelancong ke negara ini.

Aedan dan Matin dipilih kerana mencerminkan semangat atlit cilik tempatan yang memburu impian mereka tanpa rasa gentar.

"Saya selalu terjatuh tetapi saya tidak putus asa dan terus bangun dan cuba lagi," kata Matin yang berusia 5 tahun.

Abangnya Aedan yang berusia 9 tahun pula berkata: "Sangat seronok kerana saya boleh kongsi bermain papan luncur dan menunjukkan cinta saya pada sukan itu."

"Saya rasa ini langkah yang baik terutama sekali untuk atlit-atlit sukan ekstrem yang telah lama berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti ini tetapi tidak diberikan platform untuk mereka mengetengahkan kemahiran-kemahiran mereka. Jadi saya sokonglah langkah STB melakukan sebegini," kongsi Encik Fandy.

KECIL-KECIL SI CILI API: JADA IVAH MOHD AHSIK

Sukan memanjat tembok dan perlumbaan laluan berhalangan pula bukan sesuatu yang asing bagi Jada Ivah Mohamad Ahsik, meskipun dia baru berusia 10 tahun.

Malah, Jada pernah dipilih untuk mewakili negara dalam perlumbaan Spartan Kids Sedunia yang diadakan di Amerika Syarikat tahun lalu.

"Saya harap projek ini memberi inspirasi untuk keluarga menjadi aktif bersama. Ada pelbagai sukan di Singapura dan Singapura bukan hanya tempat beli-belah dan makan," kata Jada.

Ayahnya Encik Mohd Ahsik Jonid berpendapat: "Saya fikir ini inisiatif yang baik sekali daripada STB. Menyebarkan kesedaran kepada masyarakat terhadap atlit-atlit kecil ini, pertama sekali memberikan motivasi kepada kanak-kanak yang ingin menceburi sukan-sukan ini dan kedua kita memberi perangsang kepada atlit-atlit yang sudah bergiat dalam sukan ini supaya mereka bertambah baik."

Video 'Be Unstoppable' boleh ditonton di laman Youtube, STB.

- BERITAmediacorp/na

Top