Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bakat-bakat muda ceburi bidang IT, sahut visi Negara Bijak

Membina kerjaya dalam bidang teknologi maklumat untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membina kerjaya dalam bidang teknologi maklumat untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Dua siswazah universiti tempatan memilih jurusan IT, menyahut baik matlamat Singapura membangunkan 'Negara Bijak' - sebuah visi yang perlu juga bersandarkan pada bakat-bakat baru.

Siswazah Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Siti Rabiatul Adawiyah, menyertai Program Bersekutu Teknologi GovTech pada 2017.

Program kepimpinan dua tahun itu dicipta khusus buat para lepasan siswazah baru membentuk kecekapan teknikal dan kemahiran profesional dengan meneroka berbagai bidang IT.

Di bawah program tersebut, jurutera perisian ini - yang beroleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sistem Maklumat - membangunkan produk-produk teknologi untuk syarikat perniagaan.

Lebih terperinci lagi, produk-produk yang membantu menyelaraskan dan mengautomasikan proses-proses perniagaan serta aliran kegiatan mereka termasuk bagi permohonan geran menerusi penubuhan Portal Geran Perniagaan.

KEMAHIRAN IT SERBA GUNA UNTUK BERBAGAI KAWASAN PENGUASAAN

Cik Siti Rabiatul Adawiyah. (Gambar: GovTech)

Wadah sedemikian secara tidak langsung menggalak lebih banyak perniagaan memanfaatkan arus gelombang teknologi - daya penggerak yang memacu ekonomi Singapura.

Bagi Cik Rabiatul, kemahiran yang ditimbanya itu serba guna kerana ia mudah diaplikasikan bagi tujuan IT lain seperti keselamatan siber dan sains maklumat.

"Industri IT ini selalu berkembang. Lagi banyak bidang akan dicipta. Saya rasa belia-belia hari ini mereka bersikap berani serta juga sangat proaktif dalam membuat pekerjaan dan meluangkan masa untuk memperbaiki kehidupan rakyat-rakyat di Singapura. Jadi pada saya, kerja IT adalah tempat di mana mereka boleh berbuat demikian," ujar Cik Rabiatul.

Nyata, meskipun pada dasarnya pekerjaan IT lebih berunsur teknikal, ia juga menyumbang kepada kemaslahatan para pengguna sehingga peringkat akhir.

CURAH KEPAKARAN DENGAN PARA PELAJAR

Encik Muhammad Salihan Zaol-kefli. (Gambar: GovTech)

Tugas seharian Encik Muhammad Salihan Zaol-kefli di GovTech, memerlukan beliau memastikan aplikasi pemerintah daripada sesebuah pembangunan projek berjaya dikeluarkan dengan cepat dan secara terjamin untuk kegunaan orang awam.

Menganggap kemahiran IT satu bekalan penting yang wajar ada pada setiap anggota masyarakat terutama anak muda, jurutera perisian bersekutu ini rasa berpuas hati dapat mencurah kepakaran dalam satu bengkel lawatan pembelajaran untuk para pelajar MENDAKI.

"Untuk bengkel itu, saya tolong mengajar murid-murid cara bagaimana untuk mereka sesuatu aplikasi, apa proses pemikiran yang di sebaliknya. Pada masa sekarang teknologi sedang maju dengan sangat laju. Jadi ia penting untuk murid-murid bermula dari baya kecil," kongsi pendapat Encik Muhd Salihan Zaol-kefli, seorang siswazah Universiti Teknologi Nanyang dalam Kejuruteraan (Sains Komputer).

Tahun ini, anak-anak muda dengan minat dalam ijazah berkaitan Infokom dan beraspirasi untuk menyumbang kepada pembangunan negara boleh mendapat sokongan Biasiswa Negara Bijak yang ditawarkan bagi universiti-universiti tempatan mahupun luar negara.

Pemerintah turut akan menggandakan lagi usaha mempersiap tenaga kerja Singapura yang cekap dan mahir IT agar dapat melibatkan diri secara lebih bermakna dalam kemajuan ekonomi negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan