Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bakal pengantin di bawah P2HA kali ini lebih bersedia serta sudah jangkakan perubahan mesti dilakukan

Pengalaman merancang majlis pernikahan dan persandingan di bawah langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sebelum ini, membuat bakal mempelai lebih bersedia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengalaman merancang majlis pernikahan dan persandingan di bawah langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sebelum ini, membuat bakal mempelai lebih bersedia untuk melakukan perubahan kepada rancangan asal majlis mereka, walaupun pada saat-saat akhir.

Selain itu, mereka juga sudah menjangkakan akan ada perubahan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan pemerintah bagi menangani penularan koronavirus itu dalam masyarakat.

Begitulah respons bakal pengantin yang ditemui BERITAmediacorp menyusuli langkah pemerintah untuk mengehadkan jumlah tetamu yang dibenarkan bagi majlis persandingan setelah Singapura memasuki semula Fasa 2 Kewaspadaan Dipertingkat (P2HA) mulai Khamis (22 Jul).

Pada Selasa (21 Jul), Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi COVID-19 (MTF) mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media.

Di bawah P2HA, beberapa langkah pengurusan selamat diperketatkan seperti majlis persandingan yang dihadkan sehingga 100 tetamu berbanding 250 orang sebelum ini dengan ujian sebelum acara (PET).

TIDAK MAHU LENGAHKAN LAGI

Bagi pasangan Encik Muhd Nabil Mohd dan Cik Nur Ameera Mohd Hassan, mereka sudah memutuskan untuk tetap melangsungkan majlis persandingan mereka pada Ahad nanti dengan jumlah tetamu yang dikurangkan.

Mentelah lagi, mereka tidak mahu melengahkan lagi majlis itu memandangkan mereka sebenarnya sudah bernikah pada bulan lalu.

Selain itu, mereka juga sudah mula merancang hari istimewa mereka sejak November tahun lalu lagi dan sudah beberapa kali menukar rancangan.

"Rancangan asal kami untuk bernikah dan buat majlis persandingan pada hari yang sama tetapi disebabkan perubahan kepada peraturan, kami membuat keputusan untuk menikah lebih awal sebab kami risau keadaan akan semakin teruk dan memandangkan pernikahan kami pada pertengahan Jun, majlis persandingan kami sudah ditangguh dua kali," jelas Encik Nabil, 30 tahun.

Sebelum ini mereka sudah pun mengundang 140 orang tetapi kini perlu mengurangkannya kepada 100 sahaja.

Perkara berkenaan tidak mengecewakan pasangan tersebut kerana mereka memang mengimpikan sebuah majlis yang kecil saja buat ahli keluarga dan kenalan rapat.

"Dari awal lagi kami sudah bersedia untuk mengadakan majlis yang kecil. Kami hanya menarik balik jemputan bagi sekitar 10 hingga 15 pasangan dan mereka faham situasi sekarang.

"Apabila mereka mendengar berita, mereka pun menunjukkan yang mereka prihatin. Ada yang rela mengundur diri. Amat mudah bagi kami kerana keluarga dan kawan kami semua tidak mengambil hati tentang isu ini," tambah Cik Ameera, 26 tahun.

Mujur, tambah pasangan itu, perbelanjaan yang mencecah sehingga $15,000 buat kedua-dua majlis tidak kerugian kerana mereka serta vendor-vendor terlibat sudah menjangkakan perubahan akan terus berlaku.

Encik Nabil berkata: "Kami sudah pun menjangkakan yang peraturan akan ditukar minggu ini kerana kes COVID-19 semakin meningkat dari minggu lepas. Sejauh ini kami tidak ada rugi apa-apa kerana semua vendor faham dan mereka sedar dengan peraturan baru dilaksanakan pemerintah."

Majlis pernikahan semasa pandemik COVID-19 melanda Singapura. (Gambar: Ameera Hassan/ Bliss Photo Cinema)

SUDAH AMBIL LANGKAH AWAL SEJAK P2HA PERTAMA

Bagi pasangan Encik Shahrul Azhar Abu Bakar dan Cik Naty Hartiwi Jabar pula yang asalnya merancang untuk bernikah pada Sabtu ini, mereka sudah memikirkan langkah alternatif lebih awal lagi.

Apabila negara memasuki P2HA yang pertama pada bulan Mei lalu, mereka terus mengambil keputusan untuk menangguhkan majlis pernikahan dan persandingan ke 16 Oktober nanti.

Keputusan itu bagi mereka sesuatu yang perlu walaupun terpaksa melebihi tempoh "ikat janji" untuk bertunang selama dua tahun antara kedua-dua keluarga.

"Kami berkongsi terutamanya dengan ibu bapa kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak ibu bapa perlu bersetuju. Kami memanggil kedua-dua pihak datang dan berunding bersama-sama sehingga ada huraiannya," kata Encik Shahrul yang bertugas sebagai seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Lantaran itu, Encik Shahrul yang berusia 32 tahun menambah beliau berasa lega membuat keputusan awal itu bersama tunangnya Cik Naty, 31, selepas mendengar pengumuman MTF kelmarin.

Beliau dan tunangnya yang bekerja sebagai seorang jururawat turut mendedahkan bahawa rancangan asal mereka semasa mengambil pakej majlis persandingan bersama pada Disember 2019 adalah untuk 1,000 tetamu.

Namun disebabkan wabak COVID-19, mereka bersedia menukar rancangan mengikut peraturan terbaru yang ditetapkan pemerintah.

Encik Shahrul berkata: "Kami tidak dapat meramalkan bagaimana masa depan. Kalau ada pertukaran kita pun perlu sesuaikan diri dengan cepat. Jadi kami ada beberapa pelan lain dan kami juga perlu menghubungi semua vendor. Semua berjalan lancar dengan semua vendor."

Sikap bertolak ansur dan saling memahami antara bakal pengantin dengan vendor, tambah beliau, amat penting pada saat-saat begini agar tidak kerugian wang biaya majlis mereka yang mencecah $12,000.   

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan