Images
  • slimming hsa
    (Gambar: HSA)

Bahan terlarang dikesan dalam 2 'produk pelangsingan' yang dijual online: HSA

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (29 Jun) mengeluarkan amaran mengenai dua produk pengurangan berat badan yang didapati mengandungi bahan terlarang yang boleh menimbulkan risiko kesihatan serius.

HSA menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang penjualan Serifa Beauty Solidmolid dan LKS Coffee, keduanya-duanya dipasarkan sebagai "produk pelangsingan", oleh para pengguna yang mengalami "kesan buruk".

Seorang pengguna mengalami "degupan jantung yang cepat" setelah menggunakan Serifa Beauty Solidmolid, sementara para pengguna lain yang mengambil LKS Coffee mengalami penurunan berat badan dan kehilangan selera makan secara mendadak, kata HSA.

Ujian oleh agensi itu menunjukkan bahawa produk-produk tersebut mengandungi bahan sibutramine yang dilarang.

Ubat itu pernah menjadi ubat preskripsi untuk pengurangan berat badan, tetapi dilarang di Singapura sejak 2010 kerana risiko lebih tinggi serangan jantung dan angin ahmar.


HSA menyatakan kesan sampingan buruk lain yang dilaporkan oleh para pengguna yang mengambil produk-produk yang dicampur dengan sibutramine termasuk insomnia, halusinasi dan mendengar suara.

"Kedua-dua produk itu dijual di platform e-dagang seperti Shopee, Carousell dan wadah media sosial seperti Facebook dan Instagram," tambah pihak berkuasa itu.

"Amaran telah dikeluarkan kepada penjual dan pentadbir laman web masing-masing telah diarahkan untuk memadamkan senarai berkenaan."

Kedua-dua Serifa Beauty Solidmolid dan LKS Coffee dipasarkan sebagai produk pelangsingan yang mengandungi bahan semula jadi.

Serifa Beauty Solidmolid dipasarkan untuk "membakar lemak hingga 10X" sementara LKS Coffee dipasarkan sebagai mampu "mempercepat pembakaran lemak", "merangsang metabolisme" dan "mencapai kesan pelangsingan sempurna".

HSA menasihatkan para pengguna untuk berhenti mengambil kedua-dua produk ini dengan segera dan berjumpa doktor sekiranya mereka merasa tidak sihat atau bimbang tentang kesihatan mereka.

Mereka disarankan supaya berhati-hati dengan produk yang membuat pengakuan berlebihan seperti "bakar lemak hingga 10X" dan "mempercepat pembakaran lemak" atau memberikan hasil cepat yang tidak dijangka, tambah HSA.

"Mereka mungkin mengandungi bahan-bahan kuat yang boleh membahayakan kesihatan anda."

Agensi tersebut juga menuntut agar semua penjual berhenti menjual produk itu dengan segera, kerana menjual dan membekalkan produk yang mengandungi bahan terlarang adalah salah di sisi undang-undang.

"Penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara hingga 2 tahun dan/atau didenda hingga S$10,000," HSA memberi amaran.

Agensi itu juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan dan pembekalan produk terlarang ini untuk menghubungi HSA.

- CNA/TQ/tq

Top