Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bahan baru diperkenalkan untuk pertajam 'Digital Quotient' warga digital

 Buku panduan ibu bapa diperkenalkan untuk memperkasa warga digital yang selamat, bijak dan berbudi baik sempena Kempen Internet Lebih Baik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Buku panduan ibu bapa diperkenalkan untuk memperkasa warga digital yang selamat, bijak dan berbudi baik sempena Kempen Internet Lebih Baik.

Anjuran Majlis Celik Media (MLC), kempen itu yang akan berlangsung sehingga hujung tahun ini bermatlamat membangunkan pengguna siber yang lebih bertanggungjawab menerusi tiga bidang tumpuan.

Ini termasuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat seperti Yayasan MENDAKI untuk menjangkau semua lapisan usia dan latar belakang.

PENGGUNAAN INTERNET YANG SELAMAT, BIJAK DAN BAIK - SEJAUH MANA TAHAP DQ ANDA?

Penggunaan teknologi yang berleluasa kian sebati dalam kehidupan seharian manusia.

Namun, apakah tahap DQ anda?

DQ, atau Digital Quotient, merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang ada pada individu sebagai pengguna di alam maya.

Ia merupakan tunggak Kempen Internet Lebih Baik (BIC) 2018 - kempen yang dipelopori Majlis Celik Media (MLC) buat lima tahun kini.

Dalam usaha berterusan mempertingkat tahap DQ negara, MLC bekerjasama dengan badan pemikir antarabangsa - Institut DQ - untuk melancarkan sebuah buku panduan demi membantu ibu bapa mendidik anak-anak mereka tentang penggunaan Internet yang selamat, bijak dan baik.

Buku panduan itu antara lain memberi tunjuk ajar bagaimana untuk mengelak daripada pembulian siber serta kepalsuan online.

Selain daripada itu sebanyak 40 bengkel celik digital akan dianjurkan untuk para ibu bapa, termasuk oleh Yayasan MENDAKI.

Pihak berkepentingan seperti MENDAKI, yang menyokong kempen tersebut, turut menekankan peranan penting ibu bapa selaku pendidik utama yang mampu memberi kesan langsung kepada pembangunan positif anak-anak dalam dunia digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Rahayu Buang, berkata: "Menurut kajian yang diadakan, anak-anak sekarang sudah menggunakan Internet sejak umur enam tahun lagi. Jadi umur yang muda ini maksudnya mereka belum memahami apa yang baik, apa yang buruk, apa yang salah dan apa yang betul."

"Jadi sebagai ibu bapa, kita mesti mengetahui apa yang ada, apa yang anak-anak kita gunakan," pesan Cik Rahayu.

Ibu bapa juga, tambah beliau, perlu mengetahui pelbagai masalah yang mungkin dihadapi anak-anak dalam soal penggunaan Internet yang kurang baik.

Bagi mendampingi golongan ibu bapa menangani isu itu, MENDAKI akan mengadakan bengkel celik digital mulai separuh kedua tahun ini.

Bengkel dalam bahasa Melayu itu adalah terjemahan daripada bengkel perintis kendalian Institut DQ bulan lalu.

Seorang peserta bapa empat orang anak, Encik Ramani Kusen, yang menyertai bengkel tersebut berkata: "Di bengkel itu selama dua jam, mereka menerangkan dengan khusus bagaimana kita dapat menerapkan program ini di rumah seperti pengurusan masa - kita perlu menghadkan dua jam setiap hari untuk anak-anak kita yang kecil."

Namun, dengan langkah-langkah seperti itu sering dipersoalkan anak-anaknya, Encik Ramani akur ia mengambil sedikit masa sebelum boleh melihat hasil yang diingini.

Mesej sama yang menyentuh tentang keselamatan siber juga diterapkan melalui iklan televisyen dan video online di laman web www.betterinternet.sg.

Usaha tersebut dilipatgandakan lagi dengan projek-projek kemasyarakatan kendalian lima sekolah dan pertubuhan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan