Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bagaimana teks Sejarah Melayu buktikan Singapura bukan 'kampung yang mundur'

Sejauh mana Singapura dahulu merupakan sebuah kampung mundur yang menanti untuk dibangunkan? Adakah ia hanya satu mitos atau satu salah tanggapan sejarah sahaja?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejauh mana Singapura dahulu merupakan sebuah kampung mundur yang menanti untuk dibangunkan? Adakah ia hanya satu mitos atau satu salah tanggapan sejarah sahaja?

Dalam ceramah "Ceritera Temasek & Singapura Ketakjuban, Metafora, Maksud Sejarah Melayu", Pensyarah Sa'eda Buang dari NIE/NTU menekankan sumbangan Singapura kepada sosio-politik di rantau Nusantara dengan perkembangan politik, ekonomi, dan sosial seawal kurun ke-10 lagi.

Ceramah itu diadakan sempena pameran Chetakan Pertama: Ceritera dan Lagenda Awal Singapura.

NASKHAH BUKTIKAN S'PURA TIDAK MUNDUR

Naskhah Sejarah Melayu kini semakin dijadikan sebagai teks rujukan penting seiring dengan acara memperingati 200 tahun Singapura sejak Sir Stamford Raffles menjejakkan kakinya di sini.

Ramai yang mungkin tahu bahawa naskhah yang mempunyal pelbagai cetakan berbeza itu mendukung satu naratif yang sama iaitu - menceritakan keadaan Singapura jauh sebelum kurun ke-11 lagi.

Namun bagaimanakah keadaan Singapura sebelum kebangkitannya sebagai sebuah kota yang maju?

Dalam ceramah Ceritera Temasek & Singapura Ketakjuban, Metafora, Maksud Sejarah Melayu", Penolong Ketua Divisyen Bahasa Melayu, Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia (ALC) NIE/NTU, Dr Saeda Buang berkongsi bagaimana teks Sejarah Melayu bertindak sebagai bukti kukuh bahawa Singapura terdahulu jauh daripada sebuah "kampung yang mundur".

Selain menjadi tempat maritim yang penting di tengah-tengah dinamisme geopolitik di rantau ini, Dr Saeda menambah Singapura yang juga dikenali sebagai Temasek bertindak sebagai laluan kepada peradaban besar seperti China dan India.

Malah, pembangunan Singapura yang sangat pesat digambarkan sebagai sebuah kota yang "penuh sesak sehinggakan bumbung-bumbung di antara satu rumah dan lainnya bertemu".

"Kita tahu dari sejarah Melayu bahawa Singapura atau Temasek merupakan satu kewujudan politik yang sangat giat dalam perkembangan-perkembangan politik, ekonomi, sosial di Nusantara seawal kurun ke-10 dan ke-11.

"Jadi bagi saya Sejarah Melayu merupakan peluang kerana ia memberikan kita peluang tentang perkara yang kita kurang awas, kita kurang ambil perhatian sejauh ini," tekan Dr Saeda.

DR FAIZAL MUSA: 'AKAL BADI' SEJARAH MELAYU

Namun, lebih daripada menyediakan rujukan sejarah, pengkaji nusantara Dr Faizal Musa berpendapat teks itu turut merakamkan kisah "akal badi" - peristiwa helah yang boleh dijadikan pedoman.

"Di sini terletaknya kehebatan teks sejarah Melayu yang membolehkan kita baca dan menjadi satu dokumen rujukan, jadi ia bukan sahaja sesuatu yang berbentuk sejarah semata-mata, sekiranya ia ingin dirujuk sebagai sejarah.

"Tetapi juga dirujuk sebagai dokumen pengajaran yang penting, jadi ia adalah satu rujukan untuk bangsa Melayu kerana itu ia dinamakan 'Sejarah Melayu', kerana itu ia sangat penting khususnya dalam konteks orang Melayu Singapura," kata Dr Faizal Musa.

Melihat kepentingan teks Melayu ini, kedua-dua pensyarah berharap kandungannya dapat dimudahkan sebelum disertakan bagi kurikulum pendidikan di sini.

Naskhah Sejarah Melayu edisi Munshi Abdullah kini dipamerkan di NLB sehingga 24 Mac ini.

Edisi ceramah seterusnya oleh NLB akan berlangsung pada Sabtu ini (16 Mac).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan