Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bagaimana ibu bapa besarkan anak-anak secara mesra alam...

Rakyat Singapura membuang hampir satu kilogram sisa setiap hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Feb 2019 09:05PM Dikemas Kini : 03 Feb 2019 09:23PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura membuang hampir satu kilogram sisa setiap hari.

Menurut pakar-pakar sekitaran, lampin pakai buang merupakan antara barangan pengguna yang banyak mengisi tapak pelupusan sampah.

Daripada lampin dan tuala mengelap pakai buang serta barang-barang mainan, siapa sangka 'anak-anak kecil' sebenarnya menjana begitu banyak produk-produk sisa.

Lazimnya, berapa banyak bahan-bahan sedemikian digunakan, bukan sesuatu yang banyak difikirkan oleh ibu bapa. Hakikatnya, di mana ia dibuang, juga bukan perkara penting bagi kebanyakan ibu bapa.

Sebilangan ibu bapa menyatakan, setiap bulan bayi mereka menggunakan lebih daripada 200 lampin pakai buang dan lebih daripada tujuh paket tuala basah pakai buang. Bermakna, banyak sisa produk yang terhasil dari penggunaan si kecil.

Namun kini dengan tahun 2019 ditetapkan sebagai tahun Singapura menuju ke arah sifar sisa, sebilangan ibu bapa kini cuba membesarkan anak-anak mereka dengan cara lebih mesra alam.

Misalnya Cik Jamie Koh, seorang ibu kepada dua orang anak, yang menggunakan lampin kain dan membeli mainan terpakai. Ia juga dapat menjimatkan belanjanya sebanyak $300 sebulan. Semua ini dalam usahanya mahu memelihara alam sekitar.

"Tidak begitu sukar sebenarnya seperti mana sangkaan orang. Memang lebih banyak kain untuk dicuci. Tapi apabila anda melihat bagaimana bayi anda tidak mendapat ruam dan anda tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli krim lampin, di situlah saya melihat manfaatnya," kata Cik Jamie Koh.

Beliau juga merupakan antara wajah di sebalik laman Zero Waste Parenting di Facebook, yang membincangkan cara-cara untuk mengurangkan seberapa banyak sisa yang mungkin.

"Jika anda menukar lampin bayi anda tujuh hingga lapan kali seminggu, dikali tujuh, ini bermakna 49 lampin. Kali 30 hari, kali 365 hari - jumlahnya gila! Dan semua ini akan dibakar dan mengisi tapak pelupusan sampah.

"Jadi jika kita membuat perubahan mudah seperti berselang seli menggunakan lampin kain dan lampin pakai buang, ia akan mengurangkan dengan banyak sisa yang dihasilkan," kata Cik Pek Hai Lin pula, seorang Pengurus Zero Waste SG.

Satu lagi cara para ibu tidak mencemar alam sekitar ialah dengan menggunakan produk-produk mesra alam dan makanan-makanan organik untuk anak mereka.

Cik Nurul Huda misalnya memberi makanan organik kepada anaknya, Rumaysah, kerana beliau menyedari bahawa banyak barangan mengandungi kimia.

Selain itu, diet organik Rumaysah juga membina sistem imuniti yang lebih kuat. Bagi matlamat itu, Cik Nurul Huda membelanjakan lebih $500 untuk makanan organik.

Hakikatnya, keputusan beliau itu bukan laluan mudah. Cik Nurul Huda perlu mencari masa untuk menyiapkan keperluan-keperluan bebas kimia itu. Malah, beliau juga perlu meyakinkan anggota keluarganya yang awalnya kurang yakin dengan kaedah tersebut.

"Ia perlukan usaha. Bagi saya itu sesuatu yang saya mahu makukan. Pada awalnya ia sukar, kenapa semua orang berasa saya 'gila'. Tapi (akhirnya) saya membuktikan sebaliknya. Kerana apabila mereka lihat anak perempuan saya sekarang, dia ok sebenarnya. Saya sangat gembira saya membuat keputusan tersebut," cerita Cik Nurul Huda.

Bagi Cik Aneesa Mahamud, seorang ibu kepada empat orang anak, beliau membuat dan menjual produk-produk organik buatan sendiri seperti produk meredakan sakit kepala dan selesema.

"Kita bukan sahaja membantu anak, tetapi juga membantu sekitaran. Manfaatnya, anak-anak tidak terlalu bergantung kepada dadah, kerana ia ada kesan sampingan. Kesan sampingan yang anda tidak lihat sekarang, tetapi mungkin kelihatan 10 hingga 20 tahun akan datang. Jika anda mengambil bahan asli, tiada kesan sampingan," menurut Cik Aneesa.

Ternyata, trend untuk membesarkan anak-anak secara mesra alam semakin meningkat.

Dengan rundingan umum dijangka diadakan untuk menyiapkan Pelan Induk Sifar Sisa, inisiatif seperti itu sangat digalakkan.  

Sumber : CNA/NU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan