Images
  • private nursing ward hospital
    (Gambar hiasan: Linette Lim/Mediacorp)

Bagaimana golongan terdedah risiko kesan jerebu dilindungi

SINGAPURA: Sedang keadaan jerebu berlarutan, institusi-institusi jagaan kesihatan dan rumah penjagaan di merata negara mengambil langkah-langkah untuk melindungi para pesakit di bawah jagaan mereka, terutamanya mereka yang berada dalam wad dan bilik tanpa pendingin udara.

Di Hospital Besar Changi (CGH) misalnya, pelbagai langkah dilaksanakan untuk menjaga keselamatan para pesakit dan kakitangan, kata pengarah pengendalian khidmat CGH Dr Goh Min Liong kepada Mediacorp.

Dr Goh menambah: "Di wad-wad tanpa alat pendingin udara, penyejuk udara mudah alih dan pembersih udara digunakan, selain skrin untuk mencegah jerebu daripada memasuki wad dipasang di mana perlu."

Sistem pengaliran udara CGH juga dilengkapi penapis HEPA (udara berzarah kecekapan tinggi), tambah Dr Goh. Penapis-penapis seumpama itu mengumpul zarah-zarah yang berbahaya di udara.

Selain itu, CGH memantau jumlah pesakit yang mengalami masalah berkaitan pernafasan, jelas Dr Goh. Pesakit-pesakit yang mempunyai keadaan perubatan yang membuat mereka mudah terjejas oleh jerebu diberikan alat pernafasan sesuai untuk membantu mereka bernafas, sepertimana dinasihati oleh para doktor.

Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) - yang menguruskan beberapa hospital termasuk Hospital Universiti Nasional Singapura, Hospital Besar Ng Teng Fong, Hospital Alexandra dan Hospital Masyarakat Jurong - juga telah melaksanakan langkah-langkah bagi mengawal mutu udara dalam bangunan, kata seorang jurucakap NUHS kepada Mediacorp.

Ini termasuk menutup tingkap di kawasan-kawasan dengan pengaliran udara semulajadi dan menggunakan alat penyejuk dan pembersih udara mudah alih.

"Penapis-penapis dipasang pada sistem pendingin udara dalam bangunan untuk mengurangkan bahan pencemaran dan bau di udara. Kami mempunyai bekalan barangan asas yang mencukupi... ubat-ubatan, ubat mata, alat sedut, pelitup pembedahan dan pelitup N95," kata jurucakap tersebut. "Kakitangan yang mudah terjejas oleh keadaan jerebu akan ditugaskan di kawasan tertutup."

Sebagai contoh di Hospital Alexandra, kakitangan keselamatan memakai pelitup apabila dikerahkan di luar bangunan untuk rondaan, sedang kekerapan menguruskan lapangan seperti memindahkan barangan dan penyelenggaraan landskap sudah dikurangkan.

Di poliklinik-poliklinik NUHS, orang tua, wanita hamil, kanak-kanak dan mereka yang mengalami masalah penafasan dan jantung yang serius akan diberi keutamaan untuk bertemu doktor dan mendapatkan rawatan, tambah jurucakapnya.

Meskipun Hospital Tan Tock Seng (TTSH) tidak membalas pertanyaan Mediacorp, lawatan ke salah sebuah wadnya Rabu lalu mendapati bahawa tingkap-tingkap ditutup sementara semua kipas digunakan bagi pengaliran udara.

"Institusi-institusi jagaan kesihatan mengambil rujukan daripada garis pandu Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berhubung mutu udara di kawasan tertutup dalam menguruskan paras zarah (PM) di ruang-ruang tertutup," menurut Kementerian Kesihatan dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Menurut NEA, bacaan PSI 50 ke bawah menandakan mutu udara yang "baik", "sederhana" antara 51-100 dan "tidak sihat" antara 101-200.

- CNA/AY/tq

Top