Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bagaimana 'death food' jadi motivasi bantu Siti Zubaidah Mochtar tangani kencing manis

Ini rahsia Cik Siti Zubaidah Mochtar 'bebas' dari kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Siti Zubaidah Mochtar tidak dapat menerima kenyataan apabila diberitahu beliau menghidap penyakit kencing manis Jenis 2, tahun ini.

Usianya masih muda. Baru berumur 34 tahun.

Namun, Cik Siti Zubaidah akhirnya berjaya 'mengubati' masalah kencing manis tersebut menerusi kaedah 'death food'.

Apakah itu 'death food' atau makanan pembunuh? Bagaimana beliau menggunakannya untuk memerangi kencing manis?

Ini rahsia beliau 'bebas' dari kencing manis yang dikongsikan dengan BERITAMediacorp.

KADAR GULA DALAM DARAH TINGGI

Memang, sebelum disahkan terkena kencing manis, beliau kerap jatuh sakit.

Awal tahun ini, Cik Siti Zubaidah menjalani ujian HbA1C untuk mengetahui kadar gula dalam darahnya.

Ujian menunjukkan kadar gula dalam darah beliau adalah 9.9 peratus - bermakna beliau menghidap kencing manis. Jadual di bawah ini menunjukkan peratus gula dalam darah bagi orang normal atau pesakit kencing manis:

Penolong ketua bahagian pendidikan di Masjid Al-Islah itu kemudian bertekad untuk mengubah gaya hidup dan pemakanannya.

"Pada ketika itu saya terfikir, kalau saya tak ubah cara hidup saya. Nanti pada waktu muda ini saya boleh dapat penyakit-penyakit lain,"ujar beliau.

MINDA MESTI UBAH SENDIRI

Sekalipun begitu, Cik Siti Zubaidah akur bukanlah mudah untuk mengubah gaya pemakanan pada awalnya. Lebih-lebih lagi apabila sudah biasa dengan hidangan-hidangan masyarakat Melayu.

"Diri sendiri kena berubah. Minda, pemikiran tentang makanan dan gaya hidup itu kena ubah sendirilah. Bila kita sikit-sikit ubah diri sendiri ia akan terkesan pada orang sekeliling."

Berbekalkan semangat tersebut, Cik Siti Zubaidah ternyata bukan sahaja berjaya mengubah tabiat dirinya, malah berjaya membawa 'revolusi' budaya pemakanan sihat di tempat kerja.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

MAKANAN 'SILENT KILLER' TIDAK DIBENARKAN

Misalnya, beliau memperkenalkan satu 'larangan' baru kepada dirinya berhubung jenis-jenis makanan yang disifatkan sebagai 'silent killer', iaitu sedikit demi sedikit mengundang maut.

Tempias 'larangan' tersebut kemudian terkena juga kepada rakan-rakan sekerjanya.

"Jadi ada makanan tertentu yang saya rasa saya tak boleh makan, saya akan segera cakap “death food” (makanan pembawa maut). Saya tak boleh makan!" kata Cik Siti Zubaidah kepada rakan-rakannya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERAT BADAN RAKAN SEKERJA "ADALAH KURANG"

Salah seorang rakan sekerjanya, Cik Siti Qadariah Samsudin, berkongsi pada awalnya sukar untuk memahami perubahan yang dilakukan itu.

Lebih-lebih lagi kudapan, seperti biskut, yang sering disimpan di pantri pejabat termasuk dalam kategori ‘death food’.

"Bila kami satu kerja tahu yang dia ada hidap penyakit kencing manis, sebagai rakan kerja kita nak beri satu sokongan untuk dialah," kata Cik Siti Qadariah.

Yang pasti, kesan positif juga mula dirasakan mereka semua. "Nampak kami semua tak adalah naik berat badan sangat, adalah kurang," seloroh Cik Siti Qadariah. Ini kerana almari pantri kini hanya diisi dengan makanan-makanan sihat sahaja.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

GULA DALAM DARAH KEMBALI KE PARAS NORMAL

Bagi Cik Siti Zubaidah, ia membawa manfaat yang begitu besar kepada kesihatannya.

Ujian HbA1C yang kedua dijalaninya pada bulan Ogos tahun ini menunjukkan kadar gula dalam darah Cik Siti Zubaidah adalah 5.8. Ini bermakna, keadaan gula dalam darahnya sudah kembali normal!

"Saya rasa bersyukur sangat. Kirakan rasa macam apa yang saya usahakan itu ada hasilnyalah. Berjaya," ujar Cik Siti Zubaidah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan