Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan pemerhati persaingan terima komitmen pembekal bahagian lif HDB

CCS sudah menjalankan siasatan ke atas dakwaan bahawa syarikat-syarikat enggan membekalkan bahagian lif bagi kerja-kerja penyenggaraan di estet HDB.

Anggaran Waktu Membaca:
Badan pemerhati persaingan terima komitmen pembekal bahagian lif HDB

Gambar fail lif HDB yang sedang menjalani kerja-kerja penyeggaraan. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 28 Mar 2018 08:15PM Dikemas Kini : 28 Mar 2018 08:17PM

SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS) sudah menerima komitmen daripada dua pembekal bahagian lif - BNF Engineering (BNF) dan C&W Services Operations (CWO) untuk menjual bahagian-bahagian lif kepada kontraktor pihak ketiga penyenggaraan lif.

CCS sudah menjalankan siasatan ke atas dakwaan bahawa syarikat-syarikat enggan membekalkan bahagian lif bagi kerja-kerja penyenggaraan di estet HDB.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (28 Mac), CCS menyatakan lazimnya terdapat beberapa jenama lif yang dipasang di setiap estet HDB.

Bagi kerja-kerja penyenggaraan lif, majlis-majlis bandaran boleh melantik syarikat sama yang memasang lif di satu-satu estet atau mendapatkan khidmat kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan lif bagi beberapa jenama berlainan di estet tersebut.

Kos mungkin dapat dijimatkan jika mendapatkan khidmat kontraktor berlainan jenama berbanding mendapatkan khidmat daripada syarikat sama yang memasang lif asal di setiap estet, menurut badan pemerhati itu.

Menurut CCS, kontraktor yang membida projek-projek penyenggaraan lif yang termasuk beberapa jenama, memerlukan bahagian-bahagian dari jenama tertentu.

Sekalipun demikian, jika sesebuah syarikat atau pengedar tidak menyediakan bahagian yang sesuai serta penting kepada kontraktor, mereka mungkin sukar membuat taruhan kontrak untuk menyenggara dan membaiki lif bagi jenama tertentu.

Untuk menangani keprihatinan persaingan CCS, BNF dan CWO secara berasingan menyarankan komitmen sukarela kepada CCS berkaitan pembekalan bahagian lif kepada kontraktor.

Perbincangan awam tentang komitmen tersebut diadakan pada bulan November tahun lalu, dengan pertanyaan diutarakan seperti keupayaan kontraktor menggunakan bahagian-bahagian lif dengan betul, saiz inventori yang perlu dikendalikan BNF dan CWO untuk membekalkannya kepada para kontraktor pihak ketiga penyenggaraan serta melindungi hak milik intelektual.

Menyusuli perbincangan itu, BNF dan CWO mengubah suai dan memuktamadkan komitmen mereka untuk menjual bahagian-bahagian lif dengan jenama relevan kepada pembeli pada harga adil, wajar dan tidak berdiskriminasi, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Komitmen-komitmen sukarela yang disediakan oleh kedua-dua syarikat "menangani sepenuhnya" keprihatinan persaingan yang dibangkitkan oleh CCS berhubung bekalan bahagian lif dengan jenama tertentu, menurut CCS.

Badan pemerhati itu menyatakan ia akan meneruskan siasatan lain berkaitan akses kepada bahagian-bahagian lif yang diperlukan kontraktor pihak ketiga.

Penyenggaraan lif menjadi isu hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini setelah berlaku beberapa kerosakan dan kemalangan, dengan kes terbaru melibatkan pasangan warga tua yang terperangkap selama lebih dua jam dalam sebuah lif di blok HDB di Yishun pada Tahun Baru 2018 dan juga kes sebuah lif di Jurong West yang ditutup selama dua bulan setelah ia terjatuh dari tingkat empat pada bulan Julai lalu, menyebabkan seorang wanita cedera.

Kerosakan lif yang kerap berlaku di Punggol West juga menyebabkan Anggota Parlimen Sun Xueling menggesa HDB supaya mengambil tindakan tegas terhadap para kontraktor lif, sementara Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengumumkan sistem pusat untuk memantau lif dan prestasi kontraktor di semua 15 majlis bandaran PAP pada Januari lalu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan