Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan pemantau persaingan tarik balik langkah dikenakan ke atas Grab

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menarik balik langkah-langkah yang dikenakan ke atas syarikat Grab pada bulan September 2018 berhubung penggabungannya dengan syarikat Uber.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Nov 2020 02:54PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 12:05AM

SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menarik balik langkah-langkah yang dikenakan ke atas syarikat Grab pada bulan September 2018 berhubung penggabungannya dengan syarikat Uber.

Langkah itu diambil menyusuli rangka kerja pengawalan pengangkutan teksi dan kereta sewa privet dari satu tempat ke satu tempat atau 'point-to-point' (P2P) yang baru dikuatkuasakan pada 30 Oktober, menurut badan pemantau itu dalam kenyataan medianya pada Jumaat (20 Nov).

Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Industri Pengangkutan Penumpang P2P pada bulan Ogos tahun lalu, yang memerlukan semua penyedia khidmat pengangkutan yang mengambil penumpang sama ada di jalanan atau menerusi tempahan lebih awal menerusi aplikasi dan telefon dan mempunyai lebih 800 kenderaan, untuk mendapatkan lesen.

Di tengah-tengah penularan COVID-19, pelaksanaan rangka kerja baru itu ditangguhkan daripada Jun hingga Oktober tahun ini bagi memberikan para pengendali lebih banyak masa untuk menyiapkan permohonan mereka.

Sejak rangka kerja itu dilancarkan, syarikat-syarikat seperti Tada Mobility, Grab, Gojek, ComfortDelGro dan Ryde sudah diberikan lesen, menurut CCCS.

Para pengendali teksi sedia ada juga sudah diberikan lesen pengendali khidmat terhad bagi tempahan menerusi telefon.

"Hasilnya, terdapat sejumlah pengendali dalam sektor P2P hari ini. Rangka kerja pengawalan P2P yang ditadbir urus oleh Penguasa Pengangkutan Darat dan Majlis Pengakutan Awam memastikan semua pengendali berlesen tidak boleh menghalang pemandu mereka daripada memandu bagi syarikat pengendali lain," menurut CCCS.

"Rangka kerja pengawalan itu juga memastikan tambang P2P kekal telus dan diberitahu dengan jelas kepada para penumpang sedang tambang ditentukan oleh pasaran.

"Dengan rangka kerja pengawalan sektor itu kini dilaksanakan, CCCS menganggap sekarang adalah masa yang tepat untuk menarik balik arahan ke atas Grab memandangkan isu-isu yang dikenal pasti dipertimbangkan secara lebih wajar dan ditangani dalam konteks rangka kerja pengawlaan sektor," menurut CCCS lagi.

CCCS mengeluarkan keputusan bahawa Grab dan Uber melanggar peraturan berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara syarikat Uber kepada Grab bagi saham 27.5 peratus dalam firma Singapura itu.

Perjanjian itu "mengurangkan persaingan" dalam pasaran tempahan pengangkutan menerusi aplikasi dan telefon, menurut CCCS, sambil menggariskan harga tambang Grab yang dinaikkan dan perubahan pada program pelanggan setia selepas penggabungan tersebut.

CCCS mengeluarkan arahan kepada kedua-dua syarikat untuk menangani keprihatinan itu yang mewajibkan Grab untuk mengekalkan tambang, dasar-dasar tambang dan pilihan produk seperti sebelum penggabungan dan memansuhkan semua kewajipan eksklusif ke atas para pemandu kereta dan teksi.

Ini adalah untuk mengurangkan kesan perjanjian ke atas para pemandu dan pengguna dan memastikan pasaran kekal terbuka serta boleh disaingi, menurut CCCS.

Uber dan Grab kedua-duanya dikenakan denda bersama sebanyak $13 juta atas penggabungan tersebut.

Menurut CCCS denda itu dikenakan untuk "mengekang penggabungan yang tidak dapat diputarbalikkan dan yang mengancam persaingan."

Pada Jumaat, CCCS menyatakan Grab menyerahkan permohonan pada bulan Julai untuk mengenakan yuran platform sebanyak 30 sen bagi khidmat menempah kenderaan menerusi aplikasi dan telefon.

Suruhanjaya itu menyatakan ia tidak akan lagi mengeluarkan keputusan mengenai permohonan itu, selepas menarik balik arahan ke atas Grab.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan