Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan-badan Melayu sambut baik pelantikan Masagos selaku Menteri Ehwal Islam

Para pemimpin dari badan-badan Melayu/Islam setempat menyambut baik pelantikan Encik Masagos Zulkifli yang bakal mengambil alih tugas sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, minggu depan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin dari badan-badan Melayu/Islam setempat menyambut baik pelantikan Encik Masagos Zulkifli yang bakal mengambil alih tugas sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, minggu depan.

Mereka melihat Encik Masagos sebagai seorang pemimpin yang layak dan berkebolehan bagi jawatan tersebut.

Mentelah lagi, beliau berpengalaman dalam kedua-dua bidang kemasyarakatan dan sektor korporat.

Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Izzuddin Taherally misalnya berkata Encik Masagos merupakan 'orang yang paling layak' dalam kalangan pemimpin generasi keempat (4G) untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Saya rasa kalaulah ada orang yang dapat mengambil alih tugas Dr Yaacob, saya rasa ialah Encik Masagos kerana tugas ini bukanlah tugas yang mudah.

"Saya percaya Dr Yaacob menjalankan tugas ini dengan begitu teliti dan begitu baik dan saya rasa Encik Masagos menjalankan tugas yang seperti itu juga," kongsi Encik Izzuddin bersama BERITAMediacorp.

Pendapat ini turut dipersetujui oleh Persatuan Pelajar Agama Dewasa Singapura (PERDAUS), yang melihat pelantikan Encik Masagos sebagai "pengiktirafan akan kebolehan Encik Masagos".

"Kami percaya Encik Masagos akan dapat menggabungkan nilai positif dan faktor-faktor terbaik dari pelbagai bidang untuk bersama-sama menghasilkan solusi dalam menangani cabaran masyarakat Islam dan juga warga Singapura secara amnya," kata salah seorang wakil daripada PERDAUS.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli merasmikan pelancaran Kempen Dana Aidilfitri TAA. (Gambar: BERITAMediacorp)

Pelantikan Encik Masagos ke portfolio itu akan berkuat kuasa 1 Mei ini. Beliau juga mengekalkan portfolio Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Selain pengalaman Encik Masagos dalam kementerian yang berbeza seperti Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), beliau juga sudah banyak melibatkan diri dalam usaha-usaha membantu masyarakat Melayu/Islam setempat.

Sebelum berkecimpung dalam bidang politik, Encik Masagos mendapatkan pendidikannya daripada Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Maktab Rendah Nasional.

Beliau kemudian menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuteraan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), di mana beliau difahamkan merupakan salah seorang peneraju bagi Persatuan Muslim di situ.

Melihat pengalamannya ini, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad menggambarkan kepimpinan Encik Masagos sebagai 'penerus generasi dalam usaha membangunkan masyarakat Melayu/Islam yang cemerlang.'

Beliau menambah, pengalaman Encik Masagos, sebagai contoh, mengetuai PERDAUS dan menerajui Persatuan Muslim sewaktu di universiti dahulu, membuatkan Encik Masagos 'penerus yang paling sesuai' untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Beliau adalah seorang aktivis di institut pengajian tinggi, dan dia juga bertanggungjawab semasa beliau di NTU, menubuhkan mahasiswa Islam dan beliau menjadi Presiden kepada mahasiswa Islam di NTU.

"Daripada latar belakang yang begini saya melihat bahawa beliau mempunyai hati yang dekat kepada masyarakat Islam dan ini adalah salah satu yang penting bagi seseorang yang ingin memangkul amanah sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal masyarakat Islam," ujar Cik Rahayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan