Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bacaan PSI naik, khidmat penghantaran makanan, pelitup N95 dan alat pembersih udara juga meningkat

Keadaan jerebu yang berterusan sedikit sebanyak menjejas perniagaan makanan dan minuman di tempat-tempat terbuka berikutan kebanyakan orang memilih untuk tinggal di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bacaan PSI naik, khidmat penghantaran makanan, pelitup N95 dan alat pembersih udara juga meningkat
Diterbitkan : 23 Sep 2019 05:40PM Dikemas Kini : 23 Sep 2019 05:48PM

SINGAPURA: Keadaan jerebu yang berterusan sedikit sebanyak menjejas perniagaan makanan dan minuman di tempat-tempat terbuka berikutan kebanyakan orang memilih untuk tinggal di rumah. Namun sesetengah syarikat penghantaran makanan pula melaporkan peningkatan dalam jumlah pesanan yang diterima sepanjang minggu lalu.

Sementara itu, wadah e-dagang Shopee menyatakan ia menyaksikan kenaikan dalam penjualan produk berkaitan jerebu seperti pelitup N95, alat pembersih udara dan krim ekzema.

Pada jam 6.00 petang hari Ahad (22 Sep), bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) adalah 121 di bahagian selatan, 117 di bahagian timur dan 109 di bahagian utara, barat serta tengah Singapura.

Bacaan PM2.5 satu jam - iaitu ukuran zarah kecil dengan diameternya sama atau kurang 2.5 mikormeter di udara - dalam lingkungan antara 73 hingga 84 µg/m3 di julat lebih tinggi.

Minggu lalu, TODAY melaporkan betapa restoran di tempat-tempat terbuka di kawasan CBD terjejas teruk akibat jerebu hingga menyebabkan jumlah pelanggan merosot sebanyak 90 peratus.

Bagaimanapun, Deliveroo, Foodpanda dan Pizza Hut pula memberitahu TODAY bahawa mereka menyaksikan peningkatan dalam jumlah pesanan yang diterima. Bagaimanapun, ia menjelaskan tambahan itu juga mungkin bukan hanya didorong oleh keadaan berjerebu semata-mata tetapi faktor-faktor lain seperti promosi berterusan serta kempen pemasaran.

Deliveroo melaporkan khidmat pesanannya melonjak 10 peratus di Singapura pada Sabtu (14 Sep) lalu berbanding minggu sebelumnya. Syarikat penghantaran makanan itu menyaksikan kenaikan empat hingga tujuh peratus pesanan pada hari-hari biasa dengan kebanyakan peningkatan itu berlaku sekitar waktu makan malam.

Seorang jurucakap Pizza Hut berkata syarikatnya menyaksikan kenaikan tiga peratus dalam khidmat penghantaran dari minggu ke minggu.

Foodpanda juga melaporkan peningkatan dalam pesanan sepanjang minggu lalu walaupun ia tidak mendedahkan secara khusus berapakah peratusannya.

Sementara itu, seorang jurucakap Shopee berkata jualan harian purata bagi pelitup N95 meningkat lebih 40 kali ganda minggu ini berbanding minggu lalu.

Penjualan harian purata bagi alat pembersih udara pula menyaksikan peningkatan lebih dua setengah kali banyak berbanding minggu sebelumnya manakala krim ekzema pula bertambah lebih satu setengah kali lebih banyak.

Jurucakap itu menambah sekarang ini, terdapat ribuan kedai di Shopee menjual barangan untuk menangani jerebu.

AMBIL LANGKAH UNTUK JAGA PEKERJA PENGHANTARAN

Dalam responsnya kepada pertanyaan TODAY, jurucakap Grab berkata cabang penghantaran makanan syarikatnya iaitu GrabFood tidak melihat sebarang kesan pada tempahan sejak keadaan jerebu bertambah buruk pada 9 September lalu.

Kesemua empat syarikat makanan itu memberitahu TODAY mereka sedang mengambil langkah untuk menjaga pekerja penghantaran masing-masing dalam keadaan berjerebu yang berterusan.   

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan