Images
  • waterway boar
    Seekor babi hutan mati dilanggar di luar Waterway Point. (Gambar: James Tan/Facebook)

Babi hutan mati dilanggar di luar Waterway Point

SINGAPURA: Seekor babi hutan mati dilanggar di luar Waterway Point di Punggol hari ini (12 Jan).

Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) menerima satu panggilan telefon pada sekitar 11.55 pagi tadi tentang dua ekor babi hutan berdekatan Waterway Point.

Salah satunya berada dalam tempat letak kereta, sementara seekor lagi mati dilanggar.

Ketika pegawai dari ACRES tiba di tempat kejadian, mereka hanya menemui bangkai seekor babi hutan. Bangkai itu kemudian dialihkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan, menurut ACRES.

Babi hutan sering ditemui di Punggol tetapi para penduduk mengatakan bahawa haiwan itu jarang sekali menimbulkan masalah.

Pada Ogos tahun lalu, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas dicederakan seekor babi hutan, yang memasuki sebuah kondominium sebelum diberikan sedatif dan dipindahkan.

Pada November 2017, seekor babi hutan ditembak polis kerana "membahayakan keselamatan orang awam" di Jejambat Punggol West, selepas ia cedera dalam satu kemalangan dan menjadi agresif terhadap para pegawai polis dan orang awam.

Kementerian Pembangunan Negara menyatakan ia "bekerjasama rapat" dengan pihak-pihak berkepentingan untuk "menguruskan isu babi hutan liar" di Singapura pada November 2017.  

- CNA/AQ/aq

Top