Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Produk Jus Al Sunnah, Jus Penawar ada steroid kuat; boleh akibatkan kesan sampingan serius

Jika anda sedang mengambil jus dengan jenama-jenama berikut, anda perlu ambil perhatian.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda sedang mengambil jus dengan jenama-jenama berikut, anda perlu ambil perhatian. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan supaya penjualan produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar segera dihentikan kerana boleh menimbulkan masalah kesihatan serius.

Ini kerana produk tersebut mengandungi dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang kuat dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius, menurut KKM di lamannya semalam (24 Sep).

Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan pakar kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom 'cushing'.

Pesakit yang menghidap kencing manis berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius, menurut KKM lagi.

Produk Jus Al Sunnah, Jus Penawar ada steroid kuat. (Gambar-gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Para pengguna produk tersebut di Malaysia diminta segera mendapatkan nasihat dan rawatan doktor. Sekiranya pengguna sudah lama mengambil produk itu, mereka dinasihatkan agar tidak menghentikan penggunaannya secara mendadak, tetapi segera mendapatkan nasihat atau rawatan profesional.

Ini kerana berhenti secara mendadak boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan, menurut laman KKM lagi.

Produk Jus Al Sunnah adalah keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B. Namun, menurut pemantauan KKM syarikat tersebut tidak wujud.

BERITAmediacorp sudah menghubungi Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi mendapatkan maklumat sama ada produk yang sama ada dijual di Singapura.

Produk Jus Al Sunnah, Jus Penawar ada steroid kuat. (Gambar-gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Pemeriksaan BERITAmediacorp mendapati bahawa jus tersebut pernah tersenarai dalam laman jual beli Carousell, namun kini tidak lagi ada apabila dicari di laman berkenaan.

Di Malaysia, pihak berkuasa kesihatannya itu memberi amaran, mereka yang menjual bahan seperti itu boleh didenda sehingga RM100,000 (S$33,000) atau penjara sehingga 10 tahun. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan