Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Polis beri amaran tentang laman palsu SPF

Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap muslihat penyamaran sebagai pegawai polis, melibatkan laman palsu Pasukan Polis Singapura (SPF).

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Polis beri amaran tentang laman palsu SPF

Laman sesawang palsu "E-Services" di mana pelaku dipercayai memancing data para mangsa. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap muslihat penyamaran sebagai pegawai polis, melibatkan laman palsu Pasukan Polis Singapura (SPF).

SPF dalam kenyataannya hari ini (12 Jan) menyatakan, para mangsa lazimnya menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa mempunyai sejumlah besar wang dalam akaun bank mereka dan disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pengubahan wang haram.

Para mangsa kemudian diberikan pautan ke satu laman palsu yang kelihatan seperti laman SPF. Selepas itu, mereka diminta memberikan maklumat peribadi seperti maklumat kad kredit dan perbankan internet di laman palsu tersebut, kononnya bagi membantu dalam siasatan.

Laman palsu tersebut bagaimanapun digunakan bagi memancing data para mangsa untuk mencuri wang mereka dalam jumlah yang besar. Petikan gambar berikut menunjukkan laman sesawang palsu "E-Services" di mana pelaku dipercayai memancing data para mangsa.

(Gambar: SPF)

SPF menegaskan laman rasminya adalah www.police.gov.sg. Orang ramai dinasihati supaya mengambil langkah berjaga-jaga jika menerima panggilan telefon tanpa dijangka, khususnya daripada pihak yang tidak dikenali.

Langkah-langkah yang boleh diambil orang ramai adalah seperti berikut:

  • Abaikan panggilan meragukan. Pemanggil mungkin menggunakan satu teknologi untuk menyembunyikan nombor telefon sebenar. Nombor telefon Singapura mungkin dipaparkan tetapi panggilan mungkin dibuat dari luar Singapura. Jika anda menerima panggilan mencurigakan, letak telefon dan tunggu buat seketika waktu. Kemudian, hubungi pemanggil semula untuk membuat pengesahan.
  • Abaikan arahan yang minta anda mengirim atau memindahkan wang. Agensi pemerintah tidak akan meminta maklumat peribadi atau menyuruh anda memindahkan wang menerusi panggilan telefon atau kiriman mesej automatik, terutama sekali kepada akaun bank pihak ketiga. Dapatkan pendapat seseorang yang boleh dipercayai dan jangan bertindak terburu-buru.
  • Jangan berikan maklumat peribadi dan butiran akaun bank, sama ada melalui laman mahupun kepada pemanggil secara langsung. Maklumat peribadi dan butiran akaun bank seperti kata laluan, kata kunci dan kod OTP dari token berguna bagi para penjenayah.

Jika anda mempunyai maklumat berkaitan jenayah sedemikian atau kurang pasti, hubungi talian hotline polis 1800-255-0000 atau serahkannya secara online di www.police.gov.sg/iwitness. Sila hubungi '999' jika anda memerlukan bantuan polis dengan segera.

Bagi mendapatkan nasihat tentang perkara-perkara berkaitan penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688 atau melungsuri laman www.scamalert.sg.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan