Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Laman tipu guna komen palsu dari SM Tharman pancing pelaburan Bitcoin

Sebuah laman web palsu sedang cuba menarik pelaburan Bitcoin menggunakan komen-komen palsu yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan, menurut amaran yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (3 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Laman tipu guna komen palsu dari SM Tharman pancing pelaburan Bitcoin

Petikan skrin laman web palsu

Diterbitkan : 03 Dec 2019 11:06PM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 11:07PM

SINGAPURA: Sebuah laman web palsu sedang cuba menarik pelaburan Bitcoin menggunakan komen-komen palsu yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan, menurut amaran yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (3 Dis).

Laman tersebut yang cuba menyamar sebagai laman akhbar tempatan The Straits Times, memaparkan komen-komen palsu yang menyalah gunakan nama Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, yang juga merupakan pengerusi MAS.

Menurut satu petikan skrin laman itu, SM Tharman kononnya mengajak orang ramai cuba "program perdagangan auto mata wang kripto" bernama Bitcoin Circuit.

Artikel palsu itu mendakwa "pelaburan baru yang dirahsiakan" itu "menjadikan ratusan warga Singapura menjadi sangat kaya".

MAS dalam maklumannya memberi amaran: "Maklumat dalam lelaman itu memperdaya dan mengelirukan. Kenyataan yang dikaitkan dengan SM Tharman adalah palsu semata-mata".

"Laman itu meminta pembayaran bagi apa yang didakwa sebagai wadah perdagangan Bitcoin dan cuba mendapatkan maklumat kad kredit atau akaun bank daripada pembaca."

MAS mengingatkan orang ramai supaya "berwaspada" dan elakkan daripada memberi sebarang maklumat kewangan atau peribadi di borang-borang di laman itu.

"Sesiapa yang mengesyaki pelaburan itu mungkin mempunyai unsur penipuan atau disalahgunakan bagi kegiatan haram lain harus melaporkannya kepada polis," tambah MAS.

Awal tahun ini, terdapat kes-kes serupa melibatkan komen-komen palsu yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan