Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Jangan gunakan produk-produk kesihatan ini

Seorang wanita berusia 70-an dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi serius selepas menjalani pembedahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 May 2018 04:27PM Dikemas Kini : 14 May 2018 10:23PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 70-an dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi serius selepas menjalani pembedahan. Sementara itu, seorang lelaki berusia 60-an tahun mengalami sindrom Cushing setelah menggunakan produk kesihatan untuk melegakan kesakitan. Produk-produk itu didapatkan daripada Malaysia, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (14 Mei).

HSA memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menggunakan dua produk kesihatan ini: Ausbee Australia Ausbee Herbal Powder Capsules dan Shen Loon She Edoly Capsule.

Menurut kenyataan media HSA, terdapat beberapa bahan perubatan Barat terlarang yang dikesan pada produk-produk tersebut, termasuk ibuprofen, dexamethasone dan klorfeniramina.

Bagi kes wanita tersebut, penggunaan jangka panjang dexamethasone, sejenis steroid kuat dikesan pada kapsul serbuk herba, mengakibatkan komplikasi semasa menjalani pembedahan untuk patah tulang.

Mengikut HSA, wanita itu menjalani pembedahan akibat patah tulang dan mengalami komplikasi disebabkan krisis adrenal yang menjadikan tekanan darahnya merosot dengan mendadak. HSA juga menyatakan bahawa wanita itu menggunakan kapsul serbuk herba berkenaan selama dua tahun setelah mendapatkannya di Malaysia untuk meredakan sakit badan dan untuk kesejahteraannya.

Selain steroid, produk itu juga mengandungi antibiotik, ubat pelali dan sejenis ubat pencegah alahan yang boleh menyebabkan reaksi sampingan yang teruk.

Begitu juga bagi lelaki berkenaan yang menggunakan kapsul Edoly dari Malaysia untuk melegakan sakit otot yang dialaminya selama hampir sepuluh tahun.

Lelaki itu mengalami sindrom Cushing, sejenis kondisi yang disebabkan oleh penggunaan steroid bagi tempoh yang panjang.

HSA menyatakan bahawa lelaki tersebut menunjukkan simptom-simptom mengalami sindrom tersebut - iaitu penipisan kulit, lebam-lebam besar pada kulit, tekanan darah tinggi dan paras glukosa yang tinggi dalam darah. HSA menambah bahawa lelaki itu kini sedang dirawat.

ANDA GUNA PRODUK-PRODUK INI?

Pengguna dinasihati supaya berjumpa doktor secepat mungkin jika mereka menggunakan produk-produk yang mengandungi steroid sedemikian.

HSA turut memberi amaran, berhenti menggunakan steroid tanpa nasihat perubatan yang betul, boleh menyebabkan kesan sampingan seperti keletihan, pening dan tekanan darah yang rendah, terutama jika produk-produk itu digunakan beberapa minggu.

HSA juga menggesa para pengguna supaya berhati-hati terhadap produk kesihatan yang menjanjikan rawatan pantas bagi keadaan kronik, dan juga produk daripada sumber-sumber yang mencurigakan.

Para penjual dan pembekal diarahkan supaya menghentikan dengan segera penjualan produk-produk tersebut.

"Sesiapa yang membekalkan produk-produk kesihatan secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga $100,000," menurut HSA.

Sumber : CNA/KN/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan