Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Bahan terlarang sibutramine dijumpai dalam 2 produk pelangsingan yang dijual online

HSA menasihati orang ramai supaya berhenti mengambil Li Da Weight Loss Capsule dan Chapter Plus By Backslim dan untuk pergi berjumpa doktor jika mereka kurang sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2018 02:12PM Dikemas Kini : 20 Jul 2018 09:01PM

SINGAPURA: Dua produk pelangsingan, Li Da Weight Loss Capsule dan Chapter Plus By Backslim didapati mengandungi bahan terlarang, sibutramine, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan media hari ini (20 Jul), selepas menjalankan ujian.

Sibutramine dilarang di Singapura sejak 2010 kerana pengguna boleh mengalami risiko lebih tinggi serangan jantung dan angin ahmar, menurut HSA. Pengambilan bahan itu juga boleh menyebabkan kesukaran bernafas, palpitasi, perubahan emosi, halusinasi dan kedengaran suara-suara.

"Kedua-dua produk didapati dijual di beberapa wadah online tempatan," menurut kenyataan HSA. "Siasatan awal kami menunjukkan bahawa beberapa orang mungkin sudah membeli produk-produk itu secara online."

Seorang pengguna mengadu kadar degupan jantungnya meningkat selepas mengambil Chapter Plus yang dibelinya online daripada syarikat tempatan OUR COCOMO, kata HSA, yang menambah bahawa syarikat tersebut sedang membantu mereka dalam siasatan.

Chapter Plus By Backslim dipasarkan secara palsu sebagai "100% selamat", menggunakan "100% herba semula jadi" dan tidak mempunyai "kesan-kesan sampingan" selepas mengambilnya, kata HSA.

Pihak berkuasa juga mengenal pasti dua lagi produk yang serupa dengan Li Da Weight Loss Capsule, yang juga didapati dicemari sibutramine. Dua produk itu adalah Li Da DAIDAIHUA Weight Loss Capsule dan Lida (Plus).

HSA menasihati orang ramai supaya berhenti mengambil Li Da Weight Loss Capsule dan Chapter Plus By Backslim dan untuk pergi berjumpa doktor jika mereka kurang sihat.

Orang ramai harus berhati-hati terhadap produk-produk kesihatan yang didakwa selamat dan menunjukkan hasil dengan cepat. kata HSA. Mereka tidak seharusnya mempercayai ulasan-ulasan online kerana biasanya ia tidak dapat disahkan, HSA menambah.

"Sesiapa sahaja boleh menjual produk kesihatan di platform online ... Produk-produk itu mungkin adalah palsu ataupun dicemari oleh poten yang tidak diisytiharkan atau bahan-bahan terlarang yang mampu membahayakan kesihatan anda," kata HSA.

Para penjual atau pembekal yang didapati bersalah kerana menjual produk-produk kesihatan secara haram boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000.

Sumber : CNA/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan