Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Bahan rawat mati pucuk ditemui dalam 2 produk dijual online seperti gula-gula

Bahan perubatan yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk dikesan di dalam dua produk yang dijual dalam talian sebagai gula-gula, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Feb 2019 07:22PM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 10:20PM

SINGAPURA: Bahan perubatan yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk dikesan di dalam dua produk yang dijual dalam talian sebagai gula-gula, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (26 Feb).

Bahan tadalafil, dalam jumlah 'amat tinggi' ditemui dalam gula-gula Hickel dan Solomon Island Soloco Tradisional.

Tadafil digunakan untuk merawat masalah mati pucuk.

Kandungan tadafil dalam kedua-dua produk didapati melebihi 30 kali paras pengambilan harian yang ditetapkan.

Justeru, orang ramai dinasihati agar tidak membeli atau makan kedua-dua produk itu.

"Pengambilan tadalafil pada kadar yang tinggi adalah berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kesihatan yang serius, termasuk serangan jantung, angin ahmar serta hilang daya penglihatan dan pendengaran," menurut HSA.

(Gambar-gambar: HSA)

Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan perubatan juga boleh menyebabkan priapisme iaitu ereksi lama pada kelamin yang menyakitkan.

Tadalafil juga boleh menimbulkan risiko yang serius kepada pesakit-pesakit tertentu, termasuk mereka yang mempunyai masalah jantung. Bahan itu tidak seharusnya digunakan oleh pesakit yang sedang mengambil ubat jantung seperti nitrat kerana boleh menyebabkan tekanan darah rendah yang boleh mengancam nyawa.

HSA menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang Hickle oleh seorang wartawan, manakala Soloco dikesan oleh pegawai-pegawai kastam di Pusat Pemeriksaan Woodlands apabila seorang wanita berusia 29 tahun cuba membawa masuk produk tersebut ke Singapura.

PRODUK DIIKLANKAN DALAM TALIAN SEBAGAI "100% ASLI"

Siasatan susulan mendapati kedua-dua produk itu dijual di pelbagai platform e-dagang dan media sosial, termasuk Facebook. Kedua-dua produk juga dipasarkan dalam talian sebagai "100% asli" dan dibuat dengan "formula tumbuhan asli" tanpa "kesan-kesan sampingan".

"Produk-produk ini juga dipasarkan dengan cara yang mengelirukan para pengguna kerana dijual seperti gula-gula, dengan mendakwa ia boleh meningkatkan kesihatan jantung dan buah pinggang, masalah kencing manis, kecergasan, kesuburan dan daya tahan," tambah HSA.

Menurut agensi itu ia sedang bekerjasama dengan pengendali wadah beli-belah dalam talian untuk mengeluarkan produk-produk itu daripada senarai produk mereka.

Pada tahun 2017, produk terlarang yang serupa bernama Candy B didapati mengandungi tadalafil.

Sehubungan itu, Hickel dan Soloco dipasarkan sebagai "lebih baik daripada Candy B". Kandungan kedua-dua produk itu dijual dalam bungkusan yang menarik di dalam tin atau kotak.

"Ciri-ciri ini mungkin bertujuan untuk mengelirukan para pengguna untuk beranggapan bahawa produk-produk itu adalah selamat dan bermutu," menurut HSA.

Agensi itu menasihati para pengguna untuk berhenti mengambil kedua-dua produk itu dengan serta-merta dan segera berjumpa doktor jika tidak sihat.

"Sesiapa sahaja boleh menjadi penjual di platform-platform e-dagang. Anda tidak dapat memastikan di mana dan bagaimana produk-produk ini dihasilkan. Produk-produk ini mungkin dibungkus dengan baik atau seakan-akan mempunyai sijil piawaian antarabangsa, tetapi pada hakikatnya mengandungi bahan-bahan tidak diisytiharkan yang boleh membahayakan kesihatan anda dengan serius," menurut HSA lagi. 

Sumber : CNA/IL/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan